Isnin, 29 Jun 2020 | 7:51pm
Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani (tengah) melancarkan Buku Peneraju Kecemerlangan Pendidikan (PKP) 2.0 PPD Kuala Terengganu cetusan idea Jelani Sulong (kiri). - NSTP/Malik Muhamad
Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani (tengah) melancarkan Buku Peneraju Kecemerlangan Pendidikan (PKP) 2.0 PPD Kuala Terengganu cetusan idea Jelani Sulong (kiri). - NSTP/Malik Muhamad

PPD Kuala Terengganu lancar buku PKP 2.0

KUALA TERENGGANU: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu menerbitkan buku inovasi berjudul Peneraju Kecemerlangan Pendidikan (PKP) 2.0 bagi memastikan pendekatan pendidikan dalam normal baharu lebih berkesan dan bertaraf lima bintang.

Buku 13 belas muka surat hasil cetusan idea Pegawai PPD berkenaan, Jelani Sulong, menjadi rujukan warga pendidik khususnya di daerah ini untuk melihat impak pembelajaran yang kini lebih berfokuskan kaedah dalam talian kepada guru dan pelajar.

Jelani berkata, buku PKP 2.0 yang juga kesinambungan kepada versi 1,0 sesuai dengan perubahan semasa dan naratif baharu dalam sistem pendidikan negara dalam situasi semasa COVID-19.

"Kita banyak belajar daripada musibah COVID-19 untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu.

"Apa yang penting, kita mesti berubah dan melakukan transformasi dalam semua perkara dan tindakan mestilah sesuai naratif baharu bagi memastikan pembelajaran lebih efektif," katanya.

Beliau ditemui selepas program Bicara Profesional Pengarah Pendidikan Terengganu dan Pelancaran Buku PKP 2.0 PPD Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, di sini, hari sini.

Program itu dirasmikan Pengarah JPNT, Salim Ab Ghani,

Mengulas PKP 2.0, Jelani berkata ia berteraskan lima elemen utama iaitu PPD Kuala Terengganu Efektif, Pengetua Guru Besar (PGB) Berkualiti, Guru Bestari, Murid Unggul dan Sekolah Kondusif.

"Sasaran kita agar pemahaman dan tindakan pihak pengurusan sekolah sefaham dan sehasrat dengan moto PPD iaitu 'Peneraju Kecemerlangan Pendidikan' selain yakin apa yang tersurat dan tersirat dalam moto PPD seiring slogan 'Mendepani Pendidikan Global'.

"Justeru besar harapan saya agar PGB dapat mengimplimentasi ciri-ciri atau model sekolah kondusif, mengurus sekolah dengan berkualiti dan mengekalkan integriti seterusnya berupaya melahirkan guru bestari yang mencapai tahap cemerlang. Ini sekali gus melahirkan pelajar cemerlang sahsiah dan pendidikan," katanya.

Sementara itu, Salim berkata usaha murni PPD Kuala Terengganu harus dijadikan contoh bagi memastikan misi dan visi yang hendak dicapai dapat direalisasikan dan impaknya kepada pelajar.

Berita Harian X