Sabtu, 30 Jun 2018 | 1:54pm

Najib persoal pembekuan akaun UMNO

PEKAN: Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak hari ini, mempersoalkan tindakan kerajaan membekukan akaun partì itu.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri itu menganggap tindakan terbabit adalah keterlaluan kerana UMNO sebagai parti politik, tidak sepatutnya turut dihukum.

"Barisan Nasional (BN) dan UMNO sudah tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini. Hari ini, kita berdepan pula akibatnya termasuk membekukan akaun UMNO, akaun beberapa parti dalam BN dan UMNO Negeri.

"Jika mereka mahu melakukan siasatan teruskan tetapi kenapa perlu membekukan akaun berkenaan. Sepatutnya tindakan diambil terhadap individu dan bukannya parti (UMNO) dan ahlinya.

"UMNO adalah parti politik di bawah sistem demokrasi dan mempunyai tanggungjawab ke atas rakyat...kita tidak menubuhkan parti ini untuk suka-suka tetapi perlu menguruskan daripada peringkat akar umbi di cawangan, bahagian dan negeri," katanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Beliau yang mengekalkan jawatan Ketua Bahagian selepas menang tanpa bertanding, turut mengakui bahawa walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) banyak menabur janji kosong sepanjang kempen PRU14 tetapi kelemahan dalam UMNO sendiri menyebabkan parti itu tumbang dan gagal menguasai kerajaan.

"Sebagai Presiden parti ketika itu, saya mengambil tanggungjawab dan meletak jawatan...kita semua di semua peringkat dalam UMNO termasuk diri saya melakukan kesilapan dan kita perlu bina semula UMNO.

"Inilah masanya untuk kita kembali kepada perjuangan asal parti dengan sentiasa memberi keutamaan kepada matlamat asal parti.

"Jadinya, pilihlah pemimpin yang dapat membawa UMNO kembali ke jalan yang benar. Cabaran besar bagi tempoh beberapa tahun akan datang perlu dihadapi dengan berani oleh pemimpin dan ahli UMNO," katanya.

200 dibaca
Berita Harian X