Isnin, 10 September 2018 | 7:00am

Kediaman mewah, bilik hotel jadi spa segera

KUALA LUMPUR: Dari kondominium hingga banglo atau bilik hotel, semua boleh diubah menjadi 'spa segera' oleh 'pakar' kecantikan tidak bertauliah untuk memberi khidmat rawatan kecantikan dan kosmetik kepada pelanggan.

Dengan harga serendah RM50 sehingga ribuan ringgit, pengguna mampu mendapatkan pelbagai rawatan kecantikan, sama ada melalui suntikan atau 'drip', kononnya dapat memiliki kulit lebih cerah dan cantik.

Itu antara hasil siasatan BH dalam usaha mengenal pasti peranan 'pakar jadian' dalam bidang kecantikan atau estetik dan kosmetik, termasuk mencuba sendiri beberapa rawatan walaupun menyedari risiko menggunakan khidmat mereka yang tidak bertauliah.

Difahamkan, mereka sanggup berbelanja besar menyewa banglo atau kondominium untuk menarik perhatian pelanggan, selain mengelak dikesan pihak berkuasa kerana menawarkan khidmat tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan.

Tiada lesen perniagaan

Rata-rata individu yang menawarkan khidmat berkenaan juga tidak mendaftar perniagaan mereka dengan jabatan berkenaan atau mendapatkan lesen perniagaan, sekali gus dapat menjimatkan kos serta mengelak daripada membayar cukai berkaitan.

Menggunakan saluran media sosial sosial, khususnya Instagram, wartawan berjaya menjejaki operasi mereka dengan menyamar kononnya mahu mendapatkan rawatan menjadikan bentuk payu dara lebih menawan.

Seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang dihubungi menawarkan pakej suntikan 'filler' dengan harga kira-kira RM2,000 yang didakwa mampu memberi kesan segera dalam tempoh satu hingga dua jam selepas disuntik.

Wartawan diminta mengunjungi sebuah kondominium mewah di sekitar ibu negara untuk perbincangan lanjut. Hasil pemerhatian mendapati kondominium tiga bilik itu menempatkan beberapa katil dan peralatan khusus untuk rawatan, seakan-akan pusat kecantikan.

Bagi mengelak menjalani rawatan, wartawan berpura-pura ada kekangan kewangan dan berjanji akan kembali semula ke kediaman terbabit. Menerusi carian lain di Instagram, wartawan menghubungi seorang wanita berusia lingkungan 20-an untuk prosedur suntikan vitamin C.

Wanita itu memaklumkan pengambilan vitamin C secara 'drip' sebenarnya berharga RM200, namun menurunkannya kepada RM80, kononnya harga promosi. Dia memberi harga istimewa RM50 apabila wartawan memaklumkan akan membawa tiga rakan lain.

Komplikasi kesihatan

BH mendedahkan lebih 20,000 'pakar' kecantikan atau estetik tidak bertauliah didakwa bebas menawarkan khidmat rawatan kecantikan di negara ini yang dikhuatiri boleh mendedahkan pengguna kepada pelbagai komplikasi kesihatan, termasuk kanser dan maut.

Pengarah Kursus Aesthetic Academy Asia, Datuk Dr Morthy Subramanian dilaporkan berkata, hanya kira-kira 200 daripada 20,000 doktor dalam bidang estetik atau rawatan kecantikan mempunyai pentauliahan Letter of Credentialing and Privileging (LCP) di bawah Kementerian Kesihatan.

Wartawan juga menemui laman Instagram lain yang menawarkan pelbagai jenis rawatan dan prosedur kecantikan, juga di sebuah lagi kondominium mewah di ibu negara sebelum satu temu janji dibuat dengan seorang wanita dikenali dengan nama Suria.

Memasuki kondominium itu, ia tidak ubah seperti sebuah pusat kecantikan atau spa yang menawarkan pelbagai perkhidmatan. Beberapa pelanggan pula sedang menjalani rawatan pembesaran payu dara di dalam sebuah bilik.

Dalam sebuah bilik rawatan, empat katil disediakan dengan ubat-ubatan serta perkakas disimpan dalam sebuah almari. Wartawan menjalani rawatan pembersihan wajah menggunakan oksigen dengan caj RM50 dikenakan, namun tiada sebarang kesan segera dirasakan.

Selain kondominium, ada juga pakar tidak bertauliah ini menjadikan bilik hotel yang disewa sebagai spa segera untuk memenuhi keperluan pelanggan bagi mendapatkan pelbagai rawatan kecantikan, khususnya suntikan vitamin C atau drip.

Berita Harian X