Selasa, 3 March 2015 | 12:07am
SATU-SATUNYA foto yang dirakam wartawan BH ketika masuk ke Yarmouk bagi menghantar bantuan makanan dan selimut tebal kepada 18,000 pelarian yang terperangkap di kem pelarian itu. - Foto Syed Azwan Syed Ali
SATU-SATUNYA foto yang dirakam wartawan BH ketika masuk ke Yarmouk bagi menghantar bantuan makanan dan selimut tebal kepada 18,000 pelarian yang terperangkap di kem pelarian itu. - Foto Syed Azwan Syed Ali
SEKITAR lokasi pengedaran bantuan selepas tempoh 15 minit konvoi kemanusiaan dari Malaysia, Algeria dan Jordan tiba di Yalda, awal bulan lalu.- Foto Syed Azwan Syed Ali
SEKITAR lokasi pengedaran bantuan selepas tempoh 15 minit konvoi kemanusiaan dari Malaysia, Algeria dan Jordan tiba di Yalda, awal bulan lalu.- Foto Syed Azwan Syed Ali

Yarmouk impian yang berkecai

KEADAAN di hadapan Kem Yarmouk yang dikawal ketat tentera Kerajaan Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali
KEADAAN di hadapan Kem Yarmouk yang dikawal ketat tentera Kerajaan Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali

DAMSYIK: Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Syria, Staffan De Mistura menyifatkan konflik Syria sebagai krisis kemanusiaan terbesar sejak perang dunia kedua.

Konflik itu sudah mengorbankan lebih 220,000 nyawa, sejuta cedera dan menyebabkan 12 juta warga Syria bergantung kepada bantuan asing itu dilihat belum menunjukkan tanda noktah.

Ia juga menjadikan Syria, yang dahulunya antara negara yang memainkan peranan utama memacu ekonomi di rantau Arab, mundur 40 tahun ke belakang.

Ibu kota Syria, Damsyik yang dikuasai kerajaan pimpinan Presiden Bashar Al-Assad, masih tidak menentu dengan saban hari ada sahaja operasi ketenteraan dan pertempuran di timur Damsyik apabila kumpulan penentang mula menyasar serangan roket dan mortar.

Di pihak kerajaan, tenteranya terus menggerakkan serangan udara dengan menggunakan kelebihan aset ketenteraan yang ada bagi menguasai keadaan.

BANGUNAN dengan kesan bedilan menuju ke Yalda, tenggara Kem Yarmouk di Damsyik, Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali
BANGUNAN dengan kesan bedilan menuju ke Yalda, tenggara Kem Yarmouk di Damsyik, Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Konflik perang saudara

Ancaman militan Negara Islam (IS) dari Iraq sejak dua tahun lalu, sehingga kumpulan itu menguasai sebilangan besar lokasi pengeluaran gas dan minyak di utara dan timur Syria, Julai lalu, merumitkan konflik perang saudara itu.

Realiti di Damsyik dapat penulis saksikan selepas berkesempatan memasuki ibu kota Syria itu baru-baru ini bagi membantu pelarian Syria yang berdepan musim sejuk.

"Terlalu banyak pihak dalam konflik Syria," kata seorang aktivis, Abu Hamza memberi contoh di Yarmouk, iaitu kem pelarian Palestin di selatan Damsyik, yang kini menjadi medan pertempuran di antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang.

Hamza berkata, terdapat banyak kumpulan penentang dalam kem pelarian itu, termasuk Jabhat Al-Nusra yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

"Gencatan senjata sukar dicapai di dalam Yarmouk untuk beri laluan bantuan kemanusiaan. Mereka tiada ketua yang jelas," katanya menjelaskan kenapa bantuan kemanusiaan sukar disalurkan ke kawasan itu.

Kisah kesengsaraan Kem Yarmouk yang dulunya menempatkan 180,00 pelarian Palestin dibangkitkan media sejak penghujung tahun 2012 apabila kawasan kejiranan seluas 2.1 kilometer persegi itu menjadi medan pertempuran dalam konflik perang saudara Syria.

Puluhan ribu pelarian terperangkap

Ketika itu, terdapat puluhan ribu pelarian yang terperangkap di antara pertempuran tentera kerajaan dan kumpulan penentang sehingga ada yang mati kebuluran apabila akses keluar masuk di kawasan itu disekat, selain bekalan elektrik dan air terputus.

Kemuncak krisis kemanusiaan di Yarmouk, penduduk terperangkap dilaporkan memakan kucing dan rumput untuk teruskan hidup.

"Derita kami belum berakhir," kata Mahmud Ahmad, seorang doktor gigi dari Yarmouk yang berjaya keluar menyelamatkan diri ke Yalda di tenggara kem pelarian itu.

Mahmud, 35, berkata keadaan di Syria sebenarnya bertambah teruk kerana tiada pihak benar-benar menang dalam perang saudara sejak Mac 2011 itu.

Lebih menyedihkan apabila Mahmud mendakwa 300 pelarian mati akibat kebuluran dan penyakit di Yarmouk pada tahun lalu, namun perkara itu tidak dilaporkan.

"Keadaan bertambah teruk di dalam Yarmouk. Ada banyak pejuang menentang kerajaan Syria dan kami tersepit dalam konflik ini.

PELARIAN di Kem Yarmouk beratur menunggu bantuan pada awal 2014. - Foto Fail NSTP
PELARIAN di Kem Yarmouk beratur menunggu bantuan pada awal 2014. - Foto Fail NSTP

"Dahulu setiap minggu atau setiap bulan, ada bantuan makanan dihantar ke Yarmouk. Tetapi sejak tiga bulan ini, tiada bantuan dihantar ekoran pertempuran tercetus," kata beliau yang kini menganggur kerana tidak boleh keluar dari Yalda.

Yalda adalah kawasan dikuasai kumpulan penentang dan tentera kerajaan membuka laluan ke kawasan itu bagi kemasukan bantuan kemanusiaan pada 6 Februari lalu selepas cubaan kami memasuki Yarmouk melalui laluan utama di utara, gagal.

Ketika itu, penulis bersama sukarelawan Mercy Malaysia, dalam misi menghantar 1,000 kotak makanan dan selimut tebal kepada keluarga pelarian di situ.

Mahmud antara pelarian yang berada di tempat pengagihan bantuan di Yalda dan beliau menegur penulis yang sedang merakamkan proses pengedaran bantuan kemanusiaan itu.

Agensi Bantuan dan Pekerjaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) dalam laporannya sehingga hujung bulan lalu menyatakan ia gagal menghantar bekalan makanan sejak 6 Disember lalu ekoran pertempuran tercetus di Yarmouk.

Malah dalam tempoh dua bulan sejak 6 Disember lalu, agensi PBB itu hanya berjaya menyalurkan 38 kotak makanan sedangkan ia mempunyai keupayaan untuk menghantar 1,000 kotak makanan sehari.

Masalah di Yarmouk tak selesai

Sukarelawan Persatuan Kebajikan Palestin di Syria yang enggan dikenali menyimpulkan 'masalah di Yarmouk tidak akan selesai selagi konflik di Syria tidak selesai'.

"Yarmouk adalah impian kami yang berkecai," kata pemandu van kami, Mohamad yang juga pelarian Palestin berasal dari Yarmouk.

Namun apa memeningkan penulis ialah bagaimana kumpulan penentang yang dikepung, dengan 18,000 pelarian masih terperangkap, dapat bertahan sehingga ke hari ini, malah mempunyai senjata berat seperti mortar untuk bertempur?

Bagaimana senjata berat itu boleh masuk jika pergerakan barang keperluan asas seperti beras terhad di kem Yarmouk.

Sebelum meninggalkan Yalda, penulis berasa amat sayu apabila melihat Mahmud turut pulang dengan tangan kosong mengingatkan kami supaya menceritakan kisah pelarian di Syria kepada dunia.

Sambil menggelengkan kepalanya, Mahmud seolah-olah menyatakan kepada penulis bahawa tidak mengapa jika bantuan pada hari itu tidak cukup, namun memadai jika situasi di Syria dihebahkan.

"Ingat saya doktor gigi dari Damsyik," katanya, sambil mengetuk tingkap van yang beredar dari Yalda menuju ke sempadan Lubnan-Syria pada hari sama.

Konflik Syria juga menyebabkan 3.3 juta menjadi pelarian di Jordan, Lubnan, Turki, Mesir dan Iraq dengan majoriti mereka hidup daif di kem pelarian, menagih simpati dunia.

Berita Harian X