Rabu, 25 November 2015 | 12:06am
PEKERJA asing ditahan pihak berkuasa di tapak pembinaan di Lembah Sireh, Kelantan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
PEKERJA asing ditahan pihak berkuasa di tapak pembinaan di Lembah Sireh, Kelantan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Tenaga kerja asing jadi 'bahan' perniagaan


PENGAMBILAN tenaga kerja asing bukan untuk memenuhi keperluan sektor tetapi lebih kepada kepentingan perniagaan bagi mengaut keuntungan besar.

Faktor itu mendorong berlaku penipuan dalam urusan kemasukan golongan berkenaan.

Ia terbukti dengan sindiket mengenakan bayaran tinggi serta menjamin kemasukan mereka, sekali gus menyebabkan pengambilan pekerja asing secara tidak sah sukar dibanteras dan di luar kawalan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Persekutuan, Datuk Shamsuddin Bardan, berkata faktor yang menjadikan tenaga kerja asing sebagai satu perniagaan, sama seperti kegiatan pelacuran yang sukar dihapuskan walaupun salah kerana membabitkan keuntungan besar dan mudah.

Katanya, majikan pula sanggup menggunakan khidmat sindiket kerana syarat yang dikenakan untuk mendapat permit kerja melalui prosedur sedia ada lebih sukar berbanding pas pekerjaan (EP) bagi ekspatriat.
"Ini membuka ruang berlaku penyelewengan maklumat pekerja asing yang tidak layak menjadi layak dalam bidang profesional.

"Dokumen yang disediakan sindiket kelihatan asli walaupun menggunakan butiran tidak sah," katanya.

BH semalam mendedahkan lebih 20,000 warga Bangladesh yang tidak memenuhi syarat kemasukan dipercayai dibawa masuk sejak dua tahun lalu, menggunakan EP bagi ekspatriat dengan butiran palsu.

PEKERJA asing yang bekerja di sebuah restoran. - Foto hiasan
PEKERJA asing yang bekerja di sebuah restoran. - Foto hiasan

Kemasukan mereka diuruskan sindiket yang dikatakan mengenakan bayaran yang mencecah RM6,000 untuk satu kemasukan warga asing terbabit atas nama ekspatriat.

Shamsuddin berkata, keadaan itu juga menyebabkan berlaku lambakan warga asing dalam sektor tertentu, sekali gus mengurangkan peluang kerja bagi rakyat tempatan.

Katanya, pekerja dari Bangladesh menjadi pilihan kerana mereka boleh menyamar sebagai warga Nepal, yang dibenarkan kerja di sektor keselamatan.

"Bank Negara Malaysia mengumumkan setiap tahun pengaliran wang keluar lebih RM30 bilion dibawa pulang oleh pekerja asing yang membuktikan keperluan tenaga asing sudah mencukupi tetapi isunya mereka tidak memenuhi sektor yang memerlukan.

"Jika kita lihat amalan negara luar, mereka cuba mengurangkan tenaga kerja asing dengan meningkatkan produktiviti dan kemahiran warga tempatan.

"Contohnya, mereka menggunakan teknologi mengangkut sampah tanpa menggunakan tenaga kerja yang ramai," katanya.

Shamsuddin, berkata warga asing tidak menyedari sama ada sistem kemasukan mereka secara halal atau tidak kerana matlamat utama hanya untuk memasuki negara ini dan bekerja.

PEKERJA asing yang bekerja di sebuah restoran. - Foto hiasan
PEKERJA asing yang bekerja di sebuah restoran. - Foto hiasan

"Memang mereka ditawarkan gaji (untuk pekerja) profesional, namun apabila masuk ke negara ini, mereka dibiarkan ejen sehingga menyebabkan mereka memasuki sektor yang bukan keperluan seperti restoran dan jaga.

"Ini menimbulkan masalah lambakan tenaga kerja asing di sektor tertentu dan akhirnya mereka tiada pilihan, sama ada melakukan jenayah atau menceroboh ke sektor lain seperti menjalankan perniagaan hingga menjadi tauke mengurus pekerja asing," katanya.

Sementara itu, Penganalisis bebas, Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata kewujudan pelbagai kementerian yang menguruskan permohonan dan kemasukan pekerja asing,

adalah antara punca berlaku kelompangan hingga di luar kawalan penguatkuasaan sehingga berlaku penipuan dalam penyediaan dokumen.

Antara kementerian yang terbabit dalam urusan berkenaan ialah Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Kerja Raya menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata keadaan itu menyebabkan berlaku pertindihan dan manipulasi oleh pihak tertentu, termasuk mengambil kesempatan menipu dalam penyediaan dokumentasi untuk membawa tenaga asing.

Contohnya, sektor perladangan memerlukan kelulusan kuota daripada Kementerian Sumber Manusia; restoran (KPDNKK); tukang urut (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan pekerja (CIDB).

Katanya, Jabatan Imigresen pula hanya mengeluarkan pas berdasarkan kuota yang diluluskan oleh agensi dan jabatan berkaitan.

PEKERJA asing ditahan pihak berkuasa kerana menyalahgunakan visa dengan bekerja di sektor bukan profesional. - Foto hiasan
PEKERJA asing ditahan pihak berkuasa kerana menyalahgunakan visa dengan bekerja di sektor bukan profesional. - Foto hiasan

"Ia (Jabatan Imigresen) hanya satu jabatan terhad kepada fungsi dan tanggungjawabnya sedangkan ada banyak agensi terbabit dalam isu lambakan dan penyelewengan dokumen warga asing.

"Malah, Jabatan Imigresen tidak terbabit di peringkat awal pengesahan dokumen bagi kelulusan pas pekerjaan. Saya tidak menolak kemungkinan sistem permohonan dan kelulusan disalah guna di pelbagai peringkat," katanya.

Shahul Hamid mencadangkan diwujudkan jabatan khusus pekerja asing dengan mekanisme bersepadu agar pergerakan tenaga kerja asing boleh dipantau, sebelum berpindah sektor kerja dan ketika keluar negara ini.

"Ada juga cadangan supaya diwujudkan audit pengguna dan transaksi supaya orang awam boleh mencapai dan menyemak maklumat pekerja asing yang diluluskan masuk oleh pihak berkenaan.

"Ketirisan dan kelompangan boleh berlaku di banyak tempat, di mana ada ruang dan peluang. Meletakkan tugas ini kepada satu jabatan khusus atau menyerahkan kuasa di bawah Kementerian Sumber Manusia dilihat paling relevan bagi menangani isu ini," katanya.

Berita Harian X