Isnin, 14 Disember 2015 | 12:04am
BIDANG yang dikenali sebagai penilaian seni masih terlalu baharu di negara ini dengan kemunculannya dilihat sebagai impak daripada program lelongan seni yang juga masih setahun jagung. - Foto hiasan
BIDANG yang dikenali sebagai penilaian seni masih terlalu baharu di negara ini dengan kemunculannya dilihat sebagai impak daripada program lelongan seni yang juga masih setahun jagung. - Foto hiasan

Penilaian karya seni

(DARI kiri) Malam Marang karya Datuk Syed Ahmad Jamal, Potret of Joseph Roulin karya Vincent Van Gogh dan potret Mona Lisa karya Leonardo da Vinci.
(DARI kiri) Malam Marang karya Datuk Syed Ahmad Jamal, Potret of Joseph Roulin karya Vincent Van Gogh dan potret Mona Lisa karya Leonardo da Vinci.

BERAPA sebenarnya nilai sebuah catan? Jika hari ini anda membelinya pada harga RM1,000, apakah nilai itu akan kekal dalam tempoh 20 tahun akan datang?

Sebenarnya, seperti nilai hartanah yang akan terus meningkat saban tahun, sebuah catan juga mengalami kenaikan harga berdasarkan pengaruh semasa.

Potret Mona Lisa karya Leonardo da Vinci misalnya dianggarkan bernilai RM430 juta pada Disember 1962 dan nilai itu menjadi RM3.354 bilion tahun ini.

Di negara ini pula, karya Awang Damit, iaitu Nyanyian Petani Gunung, yang dianggarkan bernilai RM12,000 pada tahun 1991 meningkat kepada RM70,000 pada tahun 2013, manakala Malam Marang karya Datuk Syed Ahmad Jamal, yang dianggarkan bernilai RM120,000 pada tahun 2001 mencecah RM170,000 selepas sedekad kemudian.

Menilai harga sebenar sesebuah karya bukan tugas yang boleh dibuat oleh semua orang.

Bidang yang dikenali sebagai penilaian seni masih terlalu baharu di negara ini dengan kemunculannya dilihat sebagai impak daripada program lelongan seni yang juga masih setahun jagung.

PESERTA mendengar pembentangan forum Kandungan Karya dan Nilainya pada Forum Seni di BSVN, Kuala Lumpur, barubaru ini. - Foto Shiraz Ali
PESERTA mendengar pembentangan forum Kandungan Karya dan Nilainya pada Forum Seni di BSVN, Kuala Lumpur, barubaru ini. - Foto Shiraz Ali

Namun, peranan bidang itu sangat besar, apatah lagi anda sebenarnya boleh mendapat pengecualian cukai jika membeli karya seni seperti yang ditekankan dalam Forum Seni di Balai Seni Visual Negara (BSVN), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Presiden Persatuan Penilai Seni Malaysia, Ho Sau Fong dalam pembentangannya, Kandungan Karya dan Nilainya, berkata penilaian karya seni tidak bermaksud mempengaruhi harga sesebuah karya di pasaran, sebaliknya memastikan pemilik karya mengetahui harga sebenar koleksi itu pada pasaran semasa berdasarkan petunjuk tertentu.

Tegasnya, penilaian seni adalah mengenai perbandingan data daripada pelbagai sumber, misalnya rumah lelongan, pengumpul peribadi atau institusi, kurator, galeri dan analisis pasaran, selain karya itu sendiri yang akan dirangkumkan untuk mendapatkan nilai sebenarnya.

"Penilaian seni ialah suara bebas yang menilai karya tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Penilaian itu dibuat bukan untuk mempengaruhi atau menentukan harga karya di pasaran, sebaliknya berdasarkan beberapa faktor," katanya.

PRESIDEN Persatuan Penilai Seni Malaysia, Ho Sau Fong.
PRESIDEN Persatuan Penilai Seni Malaysia, Ho Sau Fong.

Perlu diketahui, harga lelongan tidak semestinya menggambarkan harga sebenar karya. Contoh paling jelas ialah karya Vincent Van Gogh, iaitu Potret of Joseph Roulin, yang dinilai pada harga RM294 juta pada tahun 2011, terjual pada harga RM490 juta dalam sesi lelongan Christie di London pada tahun yang sama.

Tegas Sau Fong, penilaian sesebuah karya dibuat berdasarkan standard profesional yang dipengaruhi banyak faktor sebelum nilai karya itu disebut.

"Paling utama, penilaian seni memerlukan penyelidikan. Apabila kita melihat sesuatu karya itu, kita bukan hanya menilai sisi artistiknya, sebaliknya mengambil kira apakah isu dan subjek yang dibawa dalam karya itu realiti atau imaginasi.

"Kita juga perlu melihat keadaan lukisan itu secara fizikalnya diikuti nilai estetika yang dimiliki oleh sesuatu karya," katanya.

Dalam soal estetika karya, Sau Fong berkata, nilai itu sebenarnya tidak tetap tetapi memberi nilai tambah kerana bergantung kepada pembeli kerana ada sesetengah pembeli memiliki perasaan sentimental terhadap sesuatu isu yang dibawakan dalam karya, misalnya mungkin lukisan mengenai kampung yang mengingatkannya pada kampung halaman.

"Seterusnya, kandungan lukisan itu membabitkan sudut sejarah, gaya persembahan, kaitan budaya atau nilai simbolik dalarn karya.

"Faktor ini akan membawa kita kepada latar belakang karya itu misalnya bila kali pertama ia dipamerkan dan apakah dihasilkan untuk pameran atau peraduan? Semua maklumat itu akan menjelaskan banyak perkara mengenai karya berkenaan.

"Selain itu, ia mungkin membabitkan nilai spiritual pada karya dan paling utama, keaslian karya juga diambil kira dalam menentukan nilai sebenar sesebuah karya," katanya.

Sau Fong menegaskan, nama pelukis juga membawa nilai yang berbeza pada karya seniman ternama seperti Abdul Latiff Mohidin atau Ibrahim Hussien yang nilainya jauh lebih tinggi.

"Bidang ini masih baharu di negara ini berbanding Barat yang sudah menjadi kebiasaan untuk menilai harga sebenar koleksi karya dalam simpanan," katanya.

Berita Harian X