Rabu, 20 Januari 2016 | 12:10am

Aliff Aziz nafi nikah tutup kisah hitam


GELARAN 'mat romeo' dan gosip bercinta dengan ramai gadis sering dikaitkan dengan penyanyi berasal dari Singapura, Aliff Aziz, 26.

Mula menceburkan diri dalam dunia hiburan sejak tahun 2007, dia dilanda kontroversi bersilih ganti seolah-olah menenggelamkan kerjaya Aliff.

Di sana-sini, peminat lebih banyak memperkatakan mengenai gelagat penyanyi ini, berbanding produk yang dihasilkan.

Paling hangat, tahun lalu, tersebar gosip panas kononnya Aliff mempunyai seorang anak luar nikah di negara kelahirannya.

PENYANYI, Aliff Aziz. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENYANYI, Aliff Aziz. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tiba-tiba, seorang wanita mendakwa mempunyai anak berusia tiga tahun hasil hubungannya dengan penyanyi lagu Jangan Ganggu Pacarku itu.

Tidak terkejut ketika diajukan persoalan itu, Aliff dalam nada tenang berkata, beliau enggan mengulas lanjut dakwaan mengatakan dirinya memiliki anak seperti yang tersebar.

Aliff menganggap ada sesetengah perkara terlalu peribadi untuk dibicarakan kepada umum.

"Saya lebih selesa untuk tidak membuat penjelasan lebih lanjut berhubung isu itu. Buat masa ini, tiada perkara yang perlu dijelaskan. Saya pasti membuka mulut apabila tiba masanya kelak.

"Banyak hati yang perlu dijaga. Selain mahu mendirikan rumah tangga, saya juga ingin fokus kepada kerjaya seni iaitu bidang nyanyian dan lakonan," katanya kepada BH.

Biarpun tampil dengan semangat baharu, Aliff akur kisah hitam masa lampau masih menghantui dirinya.

ALIFF enggan mengulas lanjut dakwaan mengatakan dirinya memiliki anak seperti yang tersebar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ALIFF enggan mengulas lanjut dakwaan mengatakan dirinya memiliki anak seperti yang tersebar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Dalam berusaha membersihkan namanya daripada fitnah dan gosip liar, Aliff dituduh pula mengambil jalan pintas dengan merancang menikahi gadis pilihan, Dayang Nabellah Awang Astillah atau dikenali dengan nama Bella Astilla, 22.

Aliff dikatakan 'terdesak' dan mengambil jalan mudah membersihkan nama dengan mengahwini Bella yang sah bergelar tunangnya, bulan lalu.

Namun, ketika ditanya, Aliff enggan pula memberitahu tarikh mereka akan melangsungkan perkahwinan.

"Biarlah sekiranya orang menganggap keputusan saya untuk mendirikan rumah tangga sebagai jalan untuk menutup kontroversi. Lagipun, perkahwinan adalah perkara baik dan tidak harus dilengahkan.

"Saya harus bersedia dari segi zahir dan batin untuk mengemudi bahtera hidup berkeluarga," katanya.

Bella dorong diri berubah

ALIFF bersama tunangnya, Bella Astilla. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ALIFF bersama tunangnya, Bella Astilla. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Aliff atau nama sebenarnya, Mohamad Aliff Aziz menganggap cara terbaik yang perlu dilakukannya adalah memekakkan telinga. Dia mahu memberi tumpuan penuh kepada kerjaya seni.

Aliff tidak mahu lagi memberi beban kepada keluarga serta terpesong dari landasan yang betul.

"Saya bersyukur dengan kehadiran Bella dalam hidup. Dia menjadi pendorong untuk saya berubah. Pastinya, setiap individu maklum dengan kesilapan lampau yang tidak dapat dipadam begitu saja.

"Alhamdulillah, Bella sentiasa berada di sisi bagi mengingatkan saya supaya tidak leka lagi. Saya akui bukan mudah untuk keluarganya menerima saya yang terpalit dengan pelbagai perkara negatif.

"Sehubungan itu, peluang yang diberi tidak harus disia-siakan," katanya.

Enggan terus melatah, penyanyi yang mencipta nama dengan lagu Sayang Sayang itu menerima setiap cemuhan dan kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya dengan hati terbuka.

DAYANG Nabellah Awang Astillah atau dikenali dengan nama Bella Astilla. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
DAYANG Nabellah Awang Astillah atau dikenali dengan nama Bella Astilla. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Rosyam Nor tawar berlakon

Aliff berkata, sejak akhir-akhir ini, dia rajin membaca buku panduan memimpin keluarga sebagai persediaan menjadi suami yang baik kepada Bella.

Baginya, kesilapan lalu banyak mematangkan dirinya menjadi insan lebih baik.

Aliff dan Bella melangsungkan pertunangan pada 12 Disember lalu pada majlis yang diadakan di Cyristal Hall, Plaza Jelutong, Shah Alam. Khabarnya, mereka merancang berkahwin, tahun ini.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Aliff meluahkan rasa syukur terpilih menyanyikan lagu tema filem lakonan Datuk Shah Rukh Khan dan Kajol iaitu Diwale dalam bahasa Melayu.

SELAIN menyanyi, Aliff juga menerima tawaran berlakon di bawah produksi milik Datuk Rosyam Nor. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
SELAIN menyanyi, Aliff juga menerima tawaran berlakon di bawah produksi milik Datuk Rosyam Nor. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Aliff berduet dengan Kilafairy menyanyikan lagu Warna Cinta iaitu lagu tema filem terbabit yang sedang meledak di pawagam sekarang.

"Demam filem Diwale menjadi antara faktor utama yang membantu melonjakkan nama saya dalam bidang nyanyian.

"Tidak disangka, gandingan saya dan Kilafairy menyanyikan lagu tema filem ini dalam versi bahasa Melayu mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat tempatan," katanya.

Aliff memberitahu, dia bakal tampil dengan single terbaharu, tidak lama lagi.

"Saya juga menerima tawaran berlakon di bawah produksi milik Datuk Rosyam Nor. Saya harap tahun 2016 membuka lebaran baharu dalam hidup saya," katanya.

Berita Harian X