Selasa, 17 Mei 2016 | 12:05am

Ular berbisa di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kematian yang dilaporkan berlaku di Kelantan membabitkan seorang murid Tahun Satu dipatuk ular di kawasan sekolah bulan lalu, menimbulkan kebimbangan orang ramai berhubung keselamatan diri daripada haiwan berbisa itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata sejumlah 730 kes mangsa dipatuk ular membabitkan satu kematian dilaporkan di hospital seluruh negara bermula Januari hingga 26 April lalu.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pula merekodkan 3,780 kes gangguan ular di seluruh negara pada Mac lalu dan 3,708 kes pada bulan sebelumnya.

Kejadian yang banyak berlaku di negara kita pada masa ini dikatakan berpunca daripada El Nino iaitu situasi suhu lebih panas daripada biasa yang berpanjangan di kawasan tengah tropika dan timur Lautan Pasifik disebabkan pemanasan lautan.

Pensyarah Zoologi, Vertebrata dan Ekologi Hidupan Liar Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Shahrul Anuar Mohd Sah berkata, terdapat beberapa faktor mendorong ular keluar daripada habitatnya.

"Gangguan manusia, suhu melampau, kehilangan habitat untuk tinggal dan mencari makanan akan menyebabkan ular keluar mencari kawasan bersesuaian yang baharu.

"Kesukaran mencari habitat sesuai akan menyebabkan ular itu mati. Akibat gagal mencari penempatan baharu juga, ular itu mungkin tersesat di kawasan penempatan manusia.

"Ular sangat peka dengan kehadiran manusia dan selalunya mengelak bertembung dengan manusia," katanya ketika dihubungi BH.

Beliau berkata, habitat ular bergantung kepada spesies sama ada di kawasan hutan, pergunungan, paya bakau dan berbagai lagi.

Ular air akan dijumpai di kawasan berair seperti sungai, tasik dan kolam, manakala ular kapak bakau atau ular lumpur berada di kawasan seperti muara sungai atau bakau. Ular berbisa kebanyakannya hidup di kawasan hutan.

Ular di Malaysia

* Kira-kira 159 spesies ular terdapat di Semenanjung Malaysia iaitu 20 spesies ular darat dan 21 spesies ular laut berbisa.

*Ular adalah reptilia yang hidup bersendirian dan tinggal di tempat yang ada sumber makanan dan bersembunyi bagi melindungi dirinya daripada bahaya.

*Ular tedung, ular katam tebu dan ular kapak tergolong daripada ular berbisa dan selalunya didapati berhampiran tempat kediaman atau kawasan kerja.

*Ular berbisa biasanya mempunyai taring panjang dan boleh digerak-gerakkan (bagi ular kapak) ataupun yang berkedudukan tetap (bagi ular tedung, ular katam tebu, ular pantai ataupun ular

laut) di bahagian atas rahang.

*Racun atau bisa ular tersimpan pada kelenjar di kiri dan kanan pipi serta disalurkan ke

taring melalui duktus.

Ular yang sering ditemui di Malaysia

Ular Sawa

Nama Saintifik: Phyton reticulatus

Nama Inggeris: Reticulated Phyton

Jenis keluarga Elapidae:

Ular katam tebu, ular katam belang, ular katam kepala merah, ular pantai belang, ular pantai bintik, ular pantai bintik kecil, ular senduk dan ular tedung selar.

Ular jenis ini mempunyai taring tetap di bahagian hadapan rahang atas. Semua ahli keluarga Elapidae adalah berbisa dan amat berbahaya pada manusia. Bisa ular kumpulan ini bertindak kepada sistem saraf mangsa.

Ular Senduk Asia

Nama Saintifik: Naja naja

Nama Inggeris: Common Black Cobra

Ular senduk mempunyai tubuh berwarna hitam dan berwarna biru kelabu di bahagian perut. Kepala ular ini akan tegak dan sangat agresif bila diganggu.

Patukannya amat bahaya dan boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat segera.

Ular ini membiak dengan cara bertelur dan taburannya di seluruh Semenanjung Malaysia. Makanannya adalah cicak, tikus dan haiwan lebih kecil.

Ular Tedung Selar

Nama Saintifik: Ophiophagus hannah

Nama Inggeris: King Cobra

Warna badan ular ini coklat kehitaman. Sisik pada bahagian bawah dan ekor lebih cerah berbanding bahagian tengah badan. Bahagian bawah leher berwarna kuning.

Ular ini memakan spesies ular lain dan kadangkala biawak air.

Ular betina membuat sarang dengan mengutip daun menggunakan badan dan ekor sebelum bertelur. Bilangan telur boleh mencecah sehingga 24 biji dan tempoh pengeraman mengambil masa 63 hari.

Mempunyai bisa yang boleh membawa maut dan sangat aktif di waktu siang. Ular ini tidak agresif tetapi kepalanya akan naik apabila diganggu.

Ular Pantai Belang

Nama Saintifik: Maticora intestinalis

Nama Inggeris: Banded Malayan Coral Snake

Ular pantai belang berwarna coklat dan oren serta berjalur putih pada tubuhnya. Pada bahagian perut mempunyai belang putih dan hitam. Kepalanya coklat dan pada hujung ekornya agak merah.

Ular ini biasanya mempunyai panjang 30 sentimeter. Ia adalah spesies ular bertelur dan senang didapati di kawasan hutan, padang dan juga perkampungan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Makanannya membabitkan reptilia kecil seperti cicak dan ular kecil. Mangsa yang dipatuk akan pening dan sukar bernafas tetapi tidak mendatangkan maut.

Ular Katam Tebu

Nama Saintifik: Bungaris candidus

Nama Inggeris: Malayan Krait

Memiliki kira-kira 30 belang hitam dan putih pada bahagian badan dan ekornya. Belang kehitaman hanya sampai pada bahagian tepi badan dan belang putih kadangkala mempunyai tompok berwarna merah.

Panjangnya boleh mencecah 1.6 meter dan ular ini membiak secara bertelur.

Pada umumnya ia dijumpai di kawasan rendah dan kawasan perairan sepanjang sungai serta sawah padi dan pesisir pantai.

Makanannya terdiri daripada spesies ular lain dan cicak. Pergerakan agak perlahan tetapi patukannya sangat bahaya dan boleh membawa maut.

Ular Katam Belang

Nama Saintifik: Bungarus fasciatus

Bahasa Inggeris: Banded Krait

Ular spesies ini mempunyai warna belang yang melintang iaitu hitam dan kuning muda atau putih yang berselang. Panjang boleh mencecah 1.6 meter dan ular ini membiak secara bertelur serta boleh didapati Semenanjung Malaysia terutama di hutan bakau, perkampungan dan kawasan pantai.

Ular ini bergerak perlahan dan tidak agresif. Ia cergas hanya pada waktu malam. Akibat patukan ular ini

sangat berbahaya tetapi angka kematian setakat ini amat rendah.

Makanannya adalah ular lain dan cicak. Menyerang sistem saraf (Neurotoksin) dan boleh membawa maut.

Ular Katam Kepala Merah

Nama Saintifik: Bungarus flaviceps

Nama Inggeris: Red-headed Krait

Ular ini berwarna biru-hitam dengan bahagian leher, ekor dan kepala berwarna merah terang. Bahagian perut berwarna putih dan panjangnya boleh mencapai 1.6 meter. Ular ini juga membiak secara bertelur dan hanya dijumpai di kawasan hutan luas.

Makanannya adalah spesies ular lain dan daripada spesiesnya sendiri.

Jenis keluarga Viperidae

Di Malaysia, jenis ular yang tergolong dalam keluarga ini adalah semua jenis ular kapak iaitu ular kapak bodoh, ular kapak Sumatera, ular kapak gunung, ular kapak tokong, ular kapak hidung pipih, ular kapak bakau dan ular kapak hijau.

Ular daripada keluarga ini amat mudah dikenali berdasarkan kepalanya yang seakan-akan bentuk segi tiga. Di antara mata dan lubang hidungnya terdapat lubang (pit) yang berfungsi sebagai deria pengesan haba yang amat sensitif terhadap haiwan berdarah panas.

Kelenjar racun ular ini terletak di kedua belah pipinya. Bisa ular tersebut biasanya bertindak terhadap sistem saluran darah dan tisu yang menyebabkan berlaku pendarahan di luar atau di dalam badan mangsa.

Ular Kapak Sumatera

Nama Saintifik: Trimeresurus sumatranus

Nama Inggeris: Sumatran Pit Viper

Ular kapak ini berwarna hijau terang dan pada tepi belakang terdapat gambaran tompok berwarna putih atau merah jambu.

Terdapat suatu garisan berwarna putih, biasanya bertemu dengan garis hitam di bawahnya. Kepala warna hijau tanpa sebarang tanda melainkan garis putih di belakang bahagian mata. Bahagian ekor berwarna hijau dengan gambaran belang berwarna merah di sebelah hadapan, tetapi sebelah belakang keseluruhannya berwarna merah, bahagian perut berwarna hijau-kuning.

Ular ini di antara jenis yang berbisa yang terbesar di Malaysia. Habitat ular ini amat luas di Malaysia terutama

di hutan tanah rendah. Beberapa kejadian akibat gigitan ini pernah dilaporkan tetapi tidak membawa maut. Ular ini amat agresif dan mudah menyerang.

Ular Kapak Ekor Merah

Nama Saintifik: Trimeresurus popeiorum

Nama Inggeris: Pope's Pit Viper

Dikenali juga dengan nama ular berekor merah. Badannya berwarna hijau dan hujung ekor berwarna merah. Pada tepi badan terdapat garis berwarna pucat.

Panjang satu meter dan ular ini jenis reptilia bertelur, kebanyakannya berada di kawasan berketinggian 1,000 meter dari paras laut atau lebih tinggi. Biasanya dijumpai di Cameron Highlands dan tempat berbukit di Semenanjung Malaysia.

Ular Kapak Tokong

Nama Saintifik: Tropidolaemuss wagleri

Nama Inggeris: Wagler's Pit Viper

Ular Kapak Tokong betina dewasa mempunyai kepala besar dan berwarna hijau dan hitam dengan jalur kuning, hijau muda dan bintik hitam. Sesetengah ular jantan dewasa dan juga anak ular berwarna hijau terang. Taburannya terdapat di Thailand, Indonesia, Malaysia dan Filipina. Habitat ular ini di kawasan tanah rendah, tanah hutan dan paya bakau. Kadar setiap kelahiran ialah 15-40 ekor anak. Patukan ular ini kurang berbahaya tetapi menyebabkan sakit dan bengkak.

Ular Kapak Bakau

Nama Saintifik: Trimeresurus purpureomaculatus

Nama Inggeris: Mangrove Pit Viper

Ular kapak bakau berwarna coklat-ungu dan sering terdapat garis putih di sepanjang tepi tubuhnya. Bahagian perut berwarna coklat dan warna kepala hampir sama. Panjangnya boleh mencapai satu meter. Ular ini boleh dijumpai di hutan bakau dan rawa di seluruh Semenanjung Malaysia. Ular ini sangat agresif dan patukannya sangat berbahaya dan boleh membawa maut.

Sumber: Lim Boo Liat (Ular-ular Bisa di Semenanjung Malaysia (1981)

Berita Harian X