Jumaat, 26 Ogos 2016 | 12:05am
BEG telekung Handmade Haus memudahkan muslimah ketika dalam perjalanan . - Foto Munira Abdul Ghani
BEG telekung Handmade Haus memudahkan muslimah ketika dalam perjalanan . - Foto Munira Abdul Ghani
ANTARA pilihan Beg Telekung. - Foto Munira Abdul Ghani
ANTARA pilihan Beg Telekung. - Foto Munira Abdul Ghani
AIN Najwa Azmi menggayakan Beg Telekung. - Foto Munira Abdul Ghani
AIN Najwa Azmi menggayakan Beg Telekung. - Foto Munira Abdul Ghani
USAHAWAN Beg Telekung, Nelly Sofni Azmi. - Foto Munira Abdul Ghani
USAHAWAN Beg Telekung, Nelly Sofni Azmi. - Foto Munira Abdul Ghani

Beg sejadah 2 dalam 1 pelengkap musafir


KUALA LUMPUR: Beg telekung kini dilihat menjadi pendamping kedua wanita selepas tas tangan, secara tidak langsung ia menunjukkan kesedaran agama yang semakin tinggi dalam kalangan Muslimah kerana tidak betah berenggang malah akan membimbit beg telekung ke mana sahaja mereka pergi.

Tambahan, lambakan fesyen beg telekung masa kini membolehkan wanita memilih fesyen menepati cita rasa masing-masing tanpa mengenepikan faktor sampingan seperti saiz, bentuk, warna dan corak.

Di kepulauan Nusantara terutama Malaysia, Indonesia dan Vietnam, fesyen beg telekung lebih meluas dan popular hingga ada yang sanggup terbang jauh ke negara jiran semata-mata untuk melihat koleksi terkini yang dihasilkan.

Penghasilan beg untuk mengisi telekung sama ada secara khusus atau tidak tetap menjadikan ia aksesori pilihan wanita supaya tetap kelihatan bergaya walau hanya membawa beg diisi pakaian solat yang turut melalui fasa perubahan.

Tali beg telekung turut memainkan peranan besar terhadap pemilihan oleh penggemar daripada pelbagai peringkat umur kerana ada yang suka beg dengan tali panjang, bertali halus dan pendek. Ada juga yang minat tali atau pemegang seperti tas tangan.

AIN Najwa Azmi menunjukkan demontrasi melipat telekung untuk dimuatkan ke dalam Beg Telekung. - Foto Munira Abdul Ghani
AIN Najwa Azmi menunjukkan demontrasi melipat telekung untuk dimuatkan ke dalam Beg Telekung. - Foto Munira Abdul Ghani

ANTARA pilihan corak beg telekung dari Handmade Haus yang kelihatan ranggi dan mudah dibawa. - Foto Munira Abdul Ghani
ANTARA pilihan corak beg telekung dari Handmade Haus yang kelihatan ranggi dan mudah dibawa. - Foto Munira Abdul Ghani

Corak Nusantara

Tidak dapat dinafikan, negara jiran Indonesia sering menjadi destinasi pencinta aksesori solat wanita kerana fesyennya yang terkini, pilihan fabrik lebih luas, kualiti jahitan yang kemas serta harga lebih murah berbanding di negara lain.

Corak tradisional dan bersifat nusantara menjadi keunikan beg telekung di Indonesia. Umpamanya di Bandung, jarang dijumpai beg telekung polos, kebanyakannya sarat dengan perincian seperti manik dan sulaman bunga-bungaan.

Fabrik biasa digunakan adalah kain satin licin dan berkedut yang biasanya dijual secara pakej bersama telekung dihiasi sulaman, corak serta tona warna senada. Beg dan telekung daripada kain satin bersaiz mini pernah menjadi kegemaran kerana mudah dibawa serta boleh diisi di dalam beg tangan.

Bagi yang mementingkan gaya eksklusif, rekaan lebih halus dan indah menjadi pilihan. Selalunya, beg telekung yang menjadi pilihan turut didatangkan dengan telekung bercorak sama daripada fabrik berkualiti tinggi. Harganya juga lebih mahal.

MUDAH dan ringkas menggunakan Beg Telekung. - Foto Munira Abdul Ghani
MUDAH dan ringkas menggunakan Beg Telekung. - Foto Munira Abdul Ghani

AIN Najwa Azmi menggayakan sisi belakang telekung. - Foto Munira Abdul Ghani
AIN Najwa Azmi menggayakan sisi belakang telekung. - Foto Munira Abdul Ghani

Hiasan sulaman tangan

Vietnam juga dikenali sebagai pengeluar aksesori solat terkemuka terutama di bandar raya Ho Chi Minh. Walaupun penduduk Islam di sana adalah golongan minoriti, mereka cukup produktif menghasilkan beg telekung sulaman tangan sehingga dilihat begitu eksklusif untuk dimiliki.

Mudah untuk mengenal pasti beg telekung Vietnam kerana corak lazim digunakan adalah hiasan kuntum bunga timbul dengan warna asas beg menggabungkan minimum satu hingga tiga tona. Pemegang beg pula diperbuat daripada material kayu yang disembur cat berwarna hitam.

Biarpun corak flora terus menjadi identiti beg telekung Vietnam, selari aliran fesyen semasa beg bercorak moden dan lebih kontemporari seperti hiasan gambar pemandangan, tampalan kolaj dan cetakan mula dihasilkan memberi lebih pilihan kepada penggemarnya.

Menariknya, kebanyakan pengusaha beg telekung di Vietnam adalah daripada keturunan Melayu Champa dan fasih berbahasa Melayu sekali gus selera fesyen mereka mempunyai persamaan dengan saudara sesama Islam di kepulauan Nusantara ini.

AIN Najwa Azmi menunjukkan demontrasi penggunaan Beg Telekung. - Foto Munira Abdul Ghani
AIN Najwa Azmi menunjukkan demontrasi penggunaan Beg Telekung. - Foto Munira Abdul Ghani

Rekaan unik

Pereka fesyen tempatan tidak ketinggalan menghasilkan beg telekung antaranya, Handmade Haus, yang menghasilkan beg daripada sejadah dengan fungsi dua dalam satu. Sejadah yang dijahit kepada beg akan terbentang sebaik zip beg dibuka.

Pengasasnya, Nelly Sofni Azmi berkata, kebanyakan telekung didatangkan bersama beg dan jika adapun disediakan sejadah kecil tetapi beg keluaran Handmade Haus meluaskan fungsi beg menjadi sejadah yang sedia digunakan untuk bersolat.

"Masih sukar untuk mencari produk tempatan yang menjual beg sejadah yang boleh diisi telekung di pasaran, sedangkan ia penting terutama bagi Muslimah ketika mengembara atau melakukan tugasan luar. Beg telekung yang direka ini memenuhi keperluan pengguna," katanya.

Melihat kepada bentuk beg sejadah dua dalam satu ini, tidak siapa menyangka di dalamnya ada sejadah dan ruang untuk menyimpan telekung. Itulah keunikan beg yang dijahit kepada sejadah dan berfungsi sebagai beg telekung.

Menurut Nelly, permintaan beg sejadah dua dalam satu ini amat menggalakkan kerana keunikan rekaannya, malah turut dijadikan hadiah istimewa untuk diberi kepada tetamu majlis perkahwinan, khatam al-Quran dan aqiqah.

Beg sejadah dan telekung itu dihasilkan daripada fabrik jenis kain kapas, satin, batik Sarawak, songket dan sutera bagi memberi identiti tempatan serta memenuhi permintaan pengguna selain motif moden kontemporari seperti polkadot atau geometri.

BEG sejadah 2 dalam 1. - Foto Munira Abdul Ghani
BEG sejadah 2 dalam 1. - Foto Munira Abdul Ghani

INFO

Beg telekung

  • Diperbuat daripada fabrik sutera dan kain berkilat.
  • Ada jenis berbutang dan berzip.
  • Corak popular daripada sulaman timbul, batik dan polos..
  • Pelbagai saiz, mini, kecil, sederhana dan besar.
  • Mempunyai poket untuk alat solek dan barangan peribadi.

INFO

Beg sejadah 2 dalam 1

  • Beg dijahit pada sejadah..
  • Sejadah dilipat ke dalam menghasilkan bentuk beg..
  • Mempunyai ruang menyimpan telekung.

Berita Harian X