Sabtu, 3 September 2016 | 12:02am

Dada ayam panggang bersama sos ceri

DADA ayam panggang bersama sos ceri. -Foto Hasriyasyah Sabudin
DADA ayam panggang bersama sos ceri. -Foto Hasriyasyah Sabudin

RAMAI tidak sedar kegunaan ceri dalam pelbagai masakan. Biasanya, ceri dimakan begitu saja sebagai snek, malah lebih enak dicelup dengan coklat cair.

   Mempelbagaikan resipi ceri, cef dan pakar pemakanan, Alexandra Prabaharan, berkata ceri boleh digabungkan dengan daging, terutama daging ayam kerana memberikan tekstur menarik.

   "Hidangan kuah sememangnya memikat rakyat Malaysia, gabungan bersama buah ceri memberikan tekstur berbeza dan kombinasi warna yang menarik malah kuah menjadi lebih pekat.

   "Pilihan daging seperti lembu, kambing, ayam atau sebagainya boleh dijadikan bahan utama. Cara memasaknya juga sama seperti menu asal tetapi ditambah ceri ketika proses memasak," katanya.

Baik untuk ibu hamil

Prabaharan menyarankan, penyediaan menu ini untuk ibu hamil kerana mudah disediakan, malah banyak kebaikan ceri yang boleh dimanfaatkan sepanjang kehamilan.

   Beliau berkata, rasa ceri manis namun ada sedikit masam yang boleh dijadikan bahan untuk menghilangkan rasa mual ibu hamil terutama pada trimester pertama kehamilan.

   "Bukan itu saja, kandungan vitamin C yang ada pada ceri dapat meningkatkan sistem imunisasi badan dalam menjalani masa kehamilan selama sembilan bulan.

Ia juga sesuai untuk dijadikan alternatif terbaik jika ibu itu mengidam makanan manis seumpamanya. Ketika hamil, tidak semua makanan boleh dimakan, justeru dengan memakan ceri ia lebih baik untuk kesihatan," katanya.

   Minggu ini, Aroma Kulinari berkongsi resipi dan cara memasak hidangan istimewa berasaskan ceri ini semoga dapat dimanfaatkan wanita malahan ibu hamil untuk kebaikan menyeluruh.

BAHAN-BAHAN dada ayam panggang bersama sos ceri. -Foto Hasriyasyah Sabudin
BAHAN-BAHAN dada ayam panggang bersama sos ceri. -Foto Hasriyasyah Sabudin

BAHANNYA:

2 dada ayam

1 cawan ceri

1 ulas bawang merah

1 ulas bawang putih

1/4 cawan cuka Balsamic

1/2 cawan stok ayam

1 tangkai daun turi (dicincang)

1 sudu mentega tanpa garam

Minyak zaitun, lada dan garam secukupnya

CARA MEMASAK:

1. Gaul ayam dengan garam dan lada lalu panggang di atas kuali menggunakan minyak zaitun sehingga masak. Ketepikan.

2. Untuk kuah, tumis bawang merah bersama bawang putih selama 1 minit dan tambah minyak jika perlu. Masukkan ceri dan kacau 1 minit kagi.

3. Masukkan cuka Balsamic dan kacau sehingga mendidih. Apabila cuka hampir sejat, masukkan stok ayam dan daun turi lalu masak selama 2 minit.

4. Tutup api dan kacau kuah bersama mentega tanpa garam. Masukkan garam dan tuang kuah di atas ayam panggang.

5. Siap untuk dihidang.

INFO: 5 manfaat ceri untuk kesihatan

* Mengurangkan sakit badan.

* Memberi tidur yang nyenyak.

* Mengurangkan sakit sendi.

* Mengurangkan lemak di perut.

* Bagus untuk kesihatan jantung.

Berita Harian X