Sabtu, 10 September 2016 | 12:07am
AHMAD Idham sentiasa berbincang bersama pekerjanya. - Foto Shiraz Ali
AHMAD Idham sentiasa berbincang bersama pekerjanya. - Foto Shiraz Ali

Ahmad Idham gigih bangunkan AIFA


SEGALA-GALANYA pernah berada dalam genggamannya. Dia pernah melalui zaman kegemilangan sebagai pelakon, malah turut diangkat sebagai pengarah popular apabila deretan karya arahannya mendapat kutipan filem pecah panggung sejak tahun 2000.

Menjadi pegangannya, apabila berada di puncak, usah lupa menunduk di bumi. Meskipun nama sutradara yang pernah mengarah hampir 50 filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 42, semakin suram, namun diamnya itu berisi.

Selepas menerima tamparan hebat apabila penggiat seni seperti mahu memusuhi dan menyerangnya beberapa tahun lalu, pengarah filem Adnan Sempit itu membawa diri ke Johor Bahru.

Bukan kerana merajuk, tetapi agendanya lebih besar apabila mahu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2020 dengan menubuhkan Ahmad Idham Film Academy (AIFA) berpusat di Nusajaya, Wilayah Iskandar, Johor.

Malangnya AIFA yang baru dua setengah tahun ditubuhkan, terpaksa dipindahkan ke Kuala Lumpur.

Idham berkata, pelbagai versi cerita yang didengar selepas berpindah ke Johor Bahru.

"Hari ini, saya sudah kenal siapa kawan, siapa lawan. Apabila mengambil keputusan berhijrah ke Johor Bahru, ada yang menganggap saya sedang melalui zaman kejatuhan.

AHMAD Idham sanggup berpinadah balik ke Kuala Lumpur demi masa depan pelatih AIFA. - Foto Shiraz Ali
AHMAD Idham sanggup berpinadah balik ke Kuala Lumpur demi masa depan pelatih AIFA. - Foto Shiraz Ali

"Lebih teruk, saya dituduh muflis apabila tidak lagi dilihat menggunakan kereta mewah. Sudah jadi adat pasti ada yang bertepuk tangan apabila melihat seseorang jatuh," katanya.

Idham yang pernah dinobatkan Pengarah Terbaik, Anugerah Skrin 2003 dan Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia Ke-16 berkata dalam beratus kawan yang pernah bekerja dan dibantu, tidak sampai sebelah tangan yang menghubunginya untuk bertanya khabar.

"Hanya ada beberapa rakan produser yang masih baik dan menghulurkan tangan untuk membantu kerana mereka berfikir, saya hidup dalam kesempitan.

"Saya tidak memerlukan semua itu kerana saya berpindah ke Johor kerana anak. Kawan ketawa senang dicari, tetapi tidak kawan ketika menangis.

"Saya bersyukur perhatian tidak lagi terarah kepada saya, jadi ia memudahkan saya menyusun strategi dan menyiapkan tesis. Alhamdulillah, tesis saya sudah hampir siap selepas hampir tiga tahun melakukan kajian," katanya.

Idham berkata, dia menubuhkan AIFA selepas Pinewood Iskandar Malaysia Studios diwujudkan sebagai pemangkin kepada industri kreatif di Johor.

AIFA mendapat sambutan apabila hampir 100 pelajar menyertainya dalam tempoh tidak sampai setahun penubuhannya. - Foto Shiraz Ali
AIFA mendapat sambutan apabila hampir 100 pelajar menyertainya dalam tempoh tidak sampai setahun penubuhannya. - Foto Shiraz Ali

Katanya, AIFA mendapat sambutan apabila hampir 100 pelajar menyertainya dalam tempoh tidak sampai setahun. AIFA menawarkan kursus Produksi Filem/Video (Penggambaran) menerusi Sijil Kemahiran Malaysia yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia.

"AIFA menjadi inisiatif membantu perkembangan industri perfileman tempatan dengan menyediakan tenaga kerja berkemahiran dan mendapat pendidikan yang bersesuaian.

"Saya lihat penubuhan Pinewood memberi impak yang cukup besar, malah menjadi batu loncatan kepada pelajar AIFA untuk menimba pengalaman," katanya.

Disebabkan itu, katanya, dia memilih Nusajaya sebagai pusat latihan akademi. Bagaimanapun, hasrat murninya itu tidak menjadi kenyataan.

"Saya tidak mahu membuang masa lagi lalu bertindak drastik demi pelajar yang bakal menjalani latihan tidak lama lagi dengan membawa AIFA berpindah ke Kuala Lumpur. Walaupun teraniaya dengan janji manis sesetengah pihak yang kononnya mahu membantu, saya tetap mempertahankan AIFA," katanya.

AHMAD Idham bersama pekerjanya. - Foto Shiraz Ali
AHMAD Idham bersama pekerjanya. - Foto Shiraz Ali

AHMAD Idham ketika satu perbincangan bersama pekerjanya di premis baharu AIFA dekat Kota Damansara. - Foto Shiraz Ali
AHMAD Idham ketika satu perbincangan bersama pekerjanya di premis baharu AIFA dekat Kota Damansara. - Foto Shiraz Ali

Idham berkata, sebagai pengasas AIFA, dia bertanggungjawab menyelamatkan masa depan pelajar yang sudah lebih dua tahun mengikuti pengajian ini.

"AIFA ditubuhkan dengan pelaburan sebanyak RM1.5 juta, malah saya terpaksa menjual rumah untuk membantu industri. Saya tidak mahu dituduh menipu kerana gagal menghantar pelajar menjalani latihan. Bagaimanapun, saya tidak berputus asa.

"Saya bersyukur kerana mendapat sokongan produser dan ketua bahagian produksi yang menawarkan tempat untuk pelajar menjalani latihan induksi. Secara jujur, saya pulang ke Kuala Lumpur dengan kekecewaan," katanya.

Katanya, AIFA kini berpindah dan beroperasi di Encorp Strand Mall, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor sejak awal bulan ini.

"Saya membuka syarikat produksi, AIFA Motion Pictures sejak tahun lalu sebagai platform dan memudahkan pelajar saya menjalani latihan praktikal.

"Sehingga ini, saya menghasilkan dua drama, Married Tapi Benci dan terbaharu, Tak Beli Tak Cinta yang akan menemui penonton di TV3 pada bulan depan.

"Selepas filem Mat Moto, saya menghasilkan filem Mat Moto Otai yang menggandingkan saya dengan Datuk Eizlan Yusof, Cat Farish dan Opie Zamie yang akan menemui penonton di pawagam bermula 6 Oktober ini.

"Selain itu, saya juga menubuhkan sekolah khas yang menyediakan sistem pendidikan dan terapi bertaraf antarabangsa kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Eden Firdaus Special Need Centre di lokasi yang sama," katanya.

Berita Harian X