Selasa, 7 March 2017 | 12:06am

Motif tradisional penyeri beg tangan

EMILY menunjukkan sebahagian daripada koleksi beg tangan dan hasil kraf keluaran Seri Elf Enterprise. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
EMILY menunjukkan sebahagian daripada koleksi beg tangan dan hasil kraf keluaran Seri Elf Enterprise. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

MOTIF dan corak etnik sesuatu suku kaum yang diabadikan pada pakaian, beg tangan, aksesori dan sebagainya berupaya melangkah lebih jauh.

Ini dibuktikan ilham kreativiti usahawan beg tangan wanita dari Negeri di Bawah Bayu yang memperlihatkan, motif tempatan bukan sekadar 'nasi tambah' dalam rekaan beg, bahkan layak diketengahkan sebagai jenama yang boleh dibanggakan.

Bertemu pemilik Seri Elf Enterprise, Emily Jeneble, 36, pada Program Liputan Media di Sabah sempena Hari Kraf Kebangsaan 2017 (HKK 2017) di Kundasang, Sabah, baru-baru ini, mata dijamu keunikan beg moden anyaman tangan gubahannya.

Produk beg dihasilkan daripada buluh poring berciri tahan lasak bukan saja laris di Keningau, tetapi turut memperoleh tempahan pelancong Itali dan Jerman.

Mereka terpaut hati dengan serlahan motif tradisional suku Dusun yang dipaparkan pada setiap beg sebelum disempurnakan dengan ikatan anyaman lipan, mata punai, saling kawang dan tulang belut.

"Setiap motif menterjemahkan asalusul dan kisah rakyat yang diwarisi turun-temurun. Corak bulat misalnya mewakili bulan yang bersinar terang, selain beberapa pelambangan lain meliputi kepala lalat, rintik hujan dan pakupakis," katanya.

EMILY menunjukkan sebahagian daripada koleksi beg tangan yang dibuatnya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
EMILY menunjukkan sebahagian daripada koleksi beg tangan yang dibuatnya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Jahitan tangan eksklusif

Kepelbagaian pilihan meliputi beg galas, beg selempang, beg genggam, tote, beg sandang dan sebagainya lebih menawan dengan serlahan berbilang rona seperti biru, hijau, coklat dan merah.

Menawarkan harga serendah RM35 hingga paling mahal mencecah RM250 mengikut saiz dan tahap kerumitan pembuatannya, identiti kerja tangan Emily dikenal pasti menerusi kehalusan perincian motif dijalin bersama jahitan tangan eksklusif.

"Selepas proses menebang dan memilih spesies rotan sesuai, kerja meraut dan mencelup warna dengan rotan dilakukan secara teliti tanpa bantuan mesin," katanya.

Beliau mengaku, proses menganyam adalah bahagian paling sukar kerana memerlukan ketelitian, penumpuan dan kreativiti bagi menghasilkan jalinan corak menarik.

Guna pelbagai bahan

Beliau yang juga pemenang Produk Terbaik HKK 2015 bagi produk beg dan naib johan Satu Daerah, Satu Industri (SDSI) mewakili kawasannya. Bagaimanapun, beliau tidak bergantung kepada rotan dan buluh dalam penghasilan begnya tetapi turut mencuba bahan lain seperti kulit, pvc, fabrik dan kanvas yang disifatkan lebih memberi pilihan dan kepelbagaian.

"Pembeli tempatan memburu rona moden, manakala pelancong luar negara cenderung memilih rekaan dan gaya lebih asli termasuk yang mengekalkan warna semula jadi rotan dan buluh," katanya.

EMILY menunjukkan sebahagian daripada koleksi beg tangan dan hasil kraf lain yang dibuatnya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
EMILY menunjukkan sebahagian daripada koleksi beg tangan dan hasil kraf lain yang dibuatnya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Lebih kontemporari

Pemilik Magic Bamboo, S Narty Raitom,32, memfokuskan kepada rekaan lebih kontemporari namun mengekalkan motif warisan nenek moyang, suku kaum Murut dalam setiap penghasilan begnya.

Katanya, kebanyakan motif adalah hasil peniruan alam sekeliling tanpa sedikit pun diubah suai, apatah lagi menyelitkan inspirasi corak moden.

"Corak dan motif itu sedia tersemat dalam jiwa, saya cuma 'mencungkil'nya keluar untuk dikormesialkan," katanya.

Namun, dalam banyak motif tradisional diketengahkan, nentuapan menyembunyikan kisah percintaan menyayat hati.

"Kononnya, lelaki kehilangan insan yang disayangi cuba melenyapkan kedukaannya dengan menganyam. Dia menganyam sehingga jatuh sakit dan menjadi gila," katanya.

Selain itu, produk beg yang dihasilkan menerusi bahan rimba seperti rotan dan buluh diberi nilai tambah apabila turut menyisipkan bahan moden, antaranya gentian pvc, kulit termasuk fabrik.

Bersaing dengan jenama terkenal

"Kombinasi pelbagai sumber dicadangkan Kraftangan Malaysia bukan saja menampilkan kelainan tetapi juga menguatkan daya saing dengan jenama beg terkenal di pasaran," katanya yang memperoleh pendapat RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.

Beg dihasilkan S Narty meliputi beg tangan, beg kepit, tote, dompet termasuk beg fail juga diminati kerana menawarkan pelbagai pilihan warna seperti hijau, merah jambu, ungu, kuning, merah dan coklat.

"Kepelbagaian warna memikat golongan pembeli muda dan pencinta kraf, kurang diminati pelancong asing yang lebih tertarik dengan rona asli hitam dan putih," katanya.

S Narty berkata, koleksinya banyak dibeli pelancong dari Korea dan China, sekali gus membuktikan motif etnik Sabah berpotensi besar untuk menawan dunia.

"Saya merancang menghasilkan lebih banyak rekaan yang boleh diketengahkan untuk pengiktirafan antarabangsa. Rekaan beg kita bukan saja indah dan unik, tetapi menawarkan kualiti terbaik dengan harga berpatutan," katanya.

Info

Cara penjagaan beg rotan dan buluh

  • Jangan letak di tempat lembap dan basah.
  • Elak jemur beg di bawah cahaya matahari terik.
  • Simpan beg dalam karung beg selepas digunakan bagi melindungi beg daripada berhabuk.
  • Memelihara anyaman rotan dan buluh pada badan beg.
  • Cuci kotoran melekat pada beg menggunakan berus lembut.
    • Hari Kraf Kebangsaan 2017

      • Bermula 22 Februari hingga 6 Mac di Kompleks Kraf, Jalan Conlay.
      • Waktu operasi: 10 pagi hingga 10 malam.
      • Disertai kira-kira 400 usahawan tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf.
      • Antara aktiviti menarik ialah demonstrasi kraf, Konsert Teh Tarik, Pertandingan Bintang HKK, Citarasa Belanga, Program Pencarian Wanita Melayu dan banyak lagi.
    Berita Harian X