Ahad, 19 March 2017 | 12:09am
DARI kiri, Jalani, Razif, Rahman dan Rashid
JAGUH badminton negara.

Aman pemain berdisiplin serba boleh

BANGI: Skuad badminton negara mengecapi kemuncak kegemilangan pada kempen Piala Thomas 1992 apabila membawa pulang trofi berkenaan ke tanah air.

Namun, kejayaan demi kejayaan yang dicapai tidak datang dengan mudah melainkan usaha gigih pemain skuad berkenaan.

Abdul Rahman Sidek dipilih sebagai pasangan beregu ketiga atau simpanan di pusingan akhir Piala Thomas 1992.


ZAMAN kegemilangan kempen Piala Thomas 1992.

Semangat juang yang tinggi, berdisiplin dan sentiasa komited dengan latihan serta perlawanan menjadi faktor utama kepada Abdul Rahman Sidek dipilih sebagai pasangan beregu ketiga atau beregu simpanan Malaysia bagi menghadapi Piala Thomas 1992.

Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai 'Aman' seorang yang rajin dan amat dedikasi dalam latihan serta perlawanan hingga sanggup datang sejam lebih awal berbanding jurulatih dan pemain lain untuk memulakan latihan.

Aman juga sering dipilih jurulatih untuk menjadi 'sparring partner' kepada pasangan beregu lain, terutama Razif/Jalani Sidek kerana beliau memiliki smash yang tajam dan gemar bermain secara menyerang, selain bijak mengawal bulu tangkis di gelanggang.

Bakat semula jadi sebagai pemain serba boleh dan mudah serasi dengan pemain lain juga memudahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggandingkannya dengan pemain negara lain.

Malah, sepanjang kerjaya sebagai pemain badminton profesional, Abdul Rahman pernah digandingkan dengan pakar beregu badminton utama termasuk Soo Beng Kiang dan Ong Ewe Chye.

Cuba disisihkan

Satu lagi kelebihan anak keempat dari keluarga Allahyarham Datuk Sidek Abdullah Kamar ini adalah berpengalaman menjadi pemain perseorangan pada peringkat awal penampilannya dalam arena badminton tanah air.

Namun nasib tidak menyebelahinya, seolah-olah cuba dipinggirkan oleh 'tangan ghaib' dalam BAM daripada dipilih menyertai pasukan Malaysia ke pusingan akhir kempen Piala Thomas 1992.

Bagaimanapun, abangnya Datuk Seri Jalani Sidek, berkata BAM terpaksa memanggil semula Abd Rahman kerana komitmen dan kesungguhan ditunjukkannya ketika berlatih mahu pun bertanding.

"Rahman seorang yang gemar menggunakan corak menyerang dan mempunyai smash yang kencang. Dia juga bijak mengawal bulu tangkis di bahagian belakang gelanggang serta tidak pernah main-main ketika berlatih atau beraksi di dalam gelanggang.

"Dia juga seorang yang berdisiplin di mana jurulatih belum suruh, dia akan buat sendiri latihan asas untuk memanaskan badan. Misalnya, jika latihan bermula jam 7 pagi, dia akan mula berlari selepas solat subuh atau jam 6 pagi lagi.

"Oleh itu, BAM terpaksa pilih dia sebagai pemain simpanan untuk pasangan beregu negara ketika Piala Thomas 1992," katanya kepada BH Plus.


WIRA negara berjaya membawa pulang Piala Thomas ke tanah air.

Mengimbau pembabitannya dalam sukan badminton, Abdul Rahman Sidek dikesan cenderung terhadap sukan itu sejak kecil selepas melihat tiga abangnya, Datuk Misbun, Datuk Razif dan Datuk Seri Jalani berlatih bersama bapa mereka di gelanggang.

Bakat Abdul Rahman mula menyinar selepas dipilih mewakili Selangor pada usia 11 tahun.

Pada tahun 1977, beliau muncul juara acara perseorangan Bawah 12 Tahun Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), selain juara MSSM Bawah 18 Tahun bersama adiknya, Rashid Sidek.

Abdul Rahman kemudian diserap ke dalam pasukan kebangsaan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika berusia 18 tahun selepas tamat persekolahan bagi mengisi kekosongan dalam acara perseorangan dan beregu lelaki.

Tukar haluan mulai 1996

BAM kemudian memutuskan Abdul Rahman hanya bermain untuk acara beregu dengan digandingkan bersama beberapa pemain ternama seperti Soo Beng Kiang dan Ong Ewe Chye.

Antara pencapaian tertinggi Abdul Rahman dalam acara beregu ialah muncul juara Terbuka Jerman dan Terbuka Kanada pada 1990.

Beliau turut membantu Malaysia memenangi pingat emas acara berpasukan Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, serta Juara Piala Thomas 1992.

Selepas bersara selaku pemain, Abdul Rahman dilantik sebagai jurulatih BAM mulai 1994 hingga 1995, sebelum berpindah ke Kelab Badminton Nusa Mahsuri (mulai 1 Januari 1996 hingga sekarang).

Abdul Rahman juga dilantik sebagai Ketua Jurulatih Program Pembangunan Badminton Remaja Usahasama Majlis Perbandaran Petaling Jaya/Kelab Badminton Nusa Mahsuri, mulai 1 Januari 2003 hingga sekarang.


ABDUL Rahman Sidek

Profil:

Nama: Abdul Rahman Sidek

Nama Panggilan: Aman

Tarikh lahir: 20 September 1965

Umur: 52

Asal: Banting, Selangor

Bil adik beradik: Anak keempat dari lima adik beradik.

Jawatan sekarang: Jurulatih Badminton Nusa Mahsuri

Posisi: Beregu Ketiga Skuad Olimpik 1992

Pencapaian:

1988 - Juara Terbuka Switzerland dan naib juara Terbuka Kedah

1989 - Juara Berpasukan dan pingat perak beregu Sukan SEA serta naib juara Terbuka Pahang

1990 - Juara Terbuka Kanada, Jerman dan naib juara berpasukan Piala Thomas, Juara Terbuka Perak

1992 - Juara Piala Thomas

Pencapaian sebagai Jurulatih

2006 - Jurulatih Sukma Negeri Selangor

2008 - Jurulatih Sukma Negeri Selangor

2009 - Anggota Kejurulatihan Kem Bakat Badminton KBS-Nusa Mahsuri peringkat Kebangsaan

2009 - Ketua Jurulatih skuad Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI)

Berita Harian X