Ahad, 19 March 2017 | 12:10am
MOHD Amran mementingkan disiplin dan ketepatan masa selain kekal aktif dengan aktiviti lasak. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
MOHD Amran mementingkan disiplin dan ketepatan masa selain kekal aktif dengan aktiviti lasak. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Abang bomba idam gelaran badang dunia

SHAH ALAM: Kejayaan menjuarai Kejohanan 'Powerman' Asia - Malaysia sebanyak tujuh kali dan beberapa kali dinobatkan peserta terbaik tempatan di 'Ironman' Langkawi, Mohd Amran Abdul Ghani, 37, kini mengidamkan gelaran dunia.

Diberi jolokan Badang Malaysia, Mohd Amran menyasarkan untuk mempertahankan gelaran pelari terpantas Malaysia di Kejohanan 'Ironman' Langkawi, November ini, sekali gus melayakkannya menyertai Kejohanan Dunia 'Ironman' di Kona, Hawaii, akhir tahun nanti.

MOHD Amran Abdul Ghani menunjukkan hadiah yang dimenanginya ketika menyertai Kejohanan Powerman. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat.
MOHD Amran Abdul Ghani menunjukkan hadiah yang dimenanginya ketika menyertai Kejohanan Powerman. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat.

"Saya optimis dapat melayakkan diri ke pertandingan di Hawaii nanti. Tambahan pula, sehingga kini saya masih memegang rekod peserta terpantas Malaysia di perlumbaan 'Ironman' Langkawi.

"Pada masa saya, saya bersyukur kerana mampu muncul juara untuk kali ketujuh berturut-turut di Kejohanan 'Powerman' (duathlon) Putrajaya bagi kategori umur, 5 Mac lalu," katanya ketika ditemui BH Plus.

Anggota bomba dan penyelamat dari Balai Kota Anggerik, Shah Alam itu berkata, minatnya yang mendalam terhadap aktiviti berbasikal dan larian jarak jauh, menjadi pendorong utama untuk bergiat aktif menyertai dua sukan lasak berkenaan.

"Saya mula terjebak dan bergiat aktif dengan 'Powerman' kerana mahu menguji kemampuan serta kekuatan diri apabila menyertai aktiviti 'multi sports' seperti duathlon atau pun triathlon, pada 2004.

"Saya langsung tidak menyangka mampu muncul juara kategori 'half Ironman' di Kejohanan Ironman Malaysia Putrajaya 2004, biarpun pertama kali menyertainya. Sejak itu, saya tidak pernah terlepas menyertainya," katanya.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Balai Kota Anggerik ini diberi jolokan Badang Malaysia. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Balai Kota Anggerik ini diberi jolokan Badang Malaysia. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Namun, kejayaan dikecapi tidak datang bergolek. Ia menuntut pengorbanan yang besar bukan hanya wang ringgit, malah tenaga serta masa berharga bersama keluarga.

"Saya memang mementingkan disiplin dan ketepatan masa. Jadi selepas solat Subuh, saya akan berlari atau berbasikal sejauh kira-kira 10 kilometer (km) dari rumah di Seksyen 13, Shah Alam ke tempat kerja di Bukit Jelutong.

"Ia sebagai latihan harian dan akan bersambung apabila habis kerja pada jam 5 petang. Saya berbasikal untuk pulang ke rumah pula," katanya sambil menyuarakan penghargaan kepada isteri dan anak kerana memahami minatnya.

Pada hari cuti hujung minggu atau pelepasan umum, Mohd Amran melakukan latihan intensif, termasuk berlari melebihi 45 km dan berbasikal sehingga 100 km sehari.

Beliau menegaskan, tindakan itu perlu bagi memastikan tahap kecergasan fizikal dan mentalnya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang perlumbaan Ironman, Powerman mahu pun larian jarak jauh lain.

"Matlamat utama saya menyertai perlumbaan Ironman atau Powerman bukan kerana wang hadiah semata-mata. Ia kerana minat dan keinginan untuk mengharumkan nama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta negara," katanya.

Justeru, tinggi juga harapan Mohd Amran untuk mendapat kelonggaran dan pelepasan daripada jabatan untuk beliau menjalani latihan dan menyertai pertandingan.

MOHD Amran, pemandu Jentera Bomba di Balai Bomba Kota Anggerik, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
MOHD Amran, pemandu Jentera Bomba di Balai Bomba Kota Anggerik, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

PROFIL:

Nama: Mohd Amran Abdul Ghani

Tarikh lahir: 30 Mac 1980

Umur: 37 tahun

Asal: Bachok, Kelantan

Kerjaya: Pemandu Jentera Bomba di Balai Bomba Kota Anggerik, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor

Makanan kegemaran: Gulai Kawah (kari) Kelantan, spaghetti, pasta dan macaroni.

Pantang larang: Makan pedas, berlemak, makanan susah hadam seperti daging.

PENCAPAIAN:

# 2014/2015 - Juara Half Ironman Putrajaya

# 2015 - Peserta Malaysia Terbaik di Ironman Langkawi

# 2016 - Peserta Malaysia Terbaik di Ironman Langkawi

* 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2017 - Juara kategori umur Kejohanan Powerman Asia - Malaysia di Putrajaya.

* Ironman (berenang 3.8 km, basikal 180 km dan berlari 42 km)

* Powerman (basikal dan berlari 100km)

Berita Harian X