Selasa, 21 March 2017 | 12:05am

Kilauan mutiara

MUTIARA antara aksesori yang digemari, tidak lapuk ditelan zaman. - Foto Rohanis Shukri
MUTIARA antara aksesori yang digemari, tidak lapuk ditelan zaman. - Foto Rohanis Shukri

SATU-SATUNYA batu berharga berasal dari laut, ialah mutiara. Terbentuk di dalam tiram, keunikan itulah antara faktor ia bernilai tinggi dan mahu dimiliki.

Apatah lagi, ia memercikkan gaya klasik dan romantis pada pemakainya. Malah, penggayaan aksesori daripada batu permata ini, tidak pernah lapuk ditelan zaman, sejak pertama ia dijumpai lebih 5,000 tahun lalu.

Pereka barangan kemas berasakan mutiara, Ivy Teong berkata, keunikan mutiara kerana setiap butir, bentuknya berbeza.

"Ia terhasil dalam kerangan laut yang hidup. Oleh itu walaupun secara dasar ia berbentuk bulat tetapi bulat itu tidak simetri. Ada bujur, lonjong dan berbucu. Itu jugalah yang menjadi cabaran kepada pereka untuk menghasilkan aksesori," katanya ketika ditemui baru-baru ini, berbicara mengenai keunikan mutiara.

Mutiara terhasil daripada spesies hidupan laut iaitu tiram dengan kewujudannya dikatakan bermula lebih 5,000 tahun lalu di India, China dan Iran.

Batu permata ini terhasil secara semula jadi dan sukar ditemui kerana hanya satu daripada ribuan tiram di laut berkembang menjadi mutiara.

Hari ini, kebanyakan mutiara diternak dan pada usia antara dua hingga tiga tahun ia dituai. Ini membolehkan mutiara kini dimiliki ramai, sekali gus ia tidak sukar ditemui dalam pasaran.

MEMERCIKKAN gaya klasik dan romantis pada pemakainya. - Foto Rohanis Shukri
MEMERCIKKAN gaya klasik dan romantis pada pemakainya. - Foto Rohanis Shukri

Inspirasi alam sekitar

Mengulas mengenai kelainan dalam rekaan, Ivy yang juga pemilik Juwelen Desing berkata, beliau menampilkan rekaan berinspirasikan alam sekitar.

"Kalau sebelum ini ramai pereka tampil bersama mutiara semata-mata, saya sebaliknya menterjemahkan inspirasi bunga-bungaan menerusi gandingan mutiara dan batu berwarna.

"Gandingan ini bagaimanapun tidak akan memberikan sebarang tindak balas kepada mutiara kerana batu berwarna yang saya pilih bukan daripada jenis keras, sebaliknya batu akik mawar atau 'rose quartz' adalah daripada jenis lembut, bagi mengelakkan mutiara daripada bercalar," katanya.

Rekaan berbeza ditampilkan itu turut menjadi strategi beliau untuk menarik pelanggan remaja untuk meminati aksesori mutiara.

"Mutiara sering dikaitkan dengan orang dewasa. Justeru, menerusi rekaan berbeza dan moden, saya berharap ia mampu menyuntik selera golongan muda terhadap mutiara," katanya.

Menawarkan produk berharga antara RM500 hingga mencecah ribuan ringgit, Ivy berkata kebanyakan mutiara dimiliki, diimport dari Jepun, Indonesia dan Filipina.

Mudah dijaga

Mengenai aspek penjagaan mutiara, Ivy berkata mutiara yang sudah digunakan, seelok-eloknya dilap dengan kain sedikit lembap dan terus dikeringkan menggunakan kain sebelum disimpan.

"Lebih elok sekiranya mutiara disimpan di tempat sejuk dan kering," katanya.

AMBER Chia menggayakan koleksi mutiara dari Juwelen Design. - Foto Rohanis Shukri
AMBER Chia menggayakan koleksi mutiara dari Juwelen Design. - Foto Rohanis Shukri

INFO
Mutiara:

  • Dua jenis mutiara dijual iaitu mutiara air tawar dan air masin atau laut dalam.
  • Mutiara biasanya dicampur dengan batu permata atau batu kristal Swarovski.
  • Mutiara air tawar mempunyai pelbagai reka bentuk seperti jagung, ubi kentang dan beras serta harga lebih murah.
  • Mutiara laut dalam lebih mahal kerana tiram yang menghasilkan mutiara diternak secara komersial.
  • Mutiara laut dalam hanya satu bentuk iaitu bulat dengan tiga warna iaitu putih, hitam dan pic.
Berita Harian X