Isnin, 9 Oktober 2017 | 5:40pm
PRESIDEN Insurans Am Zurich Malaysia, David Fike. - Foto Yazit Razali

Zurich sedia diskaun 10 peratus premium motor

KUALA LUMPUR: Zurich Insurance Malaysia Bhd (Zurich Malaysia) menawarkan pelan motor Z-Driver yang antaranya menyediakan diskaun premium insurans motor sehingga 10 peratus sebagai menghargai pemandu berhemah dalam segmen risiko rendah.

 

Presiden Insurans Am Zurich Malaysia, David Fike, berkata Z-Driver diperkenalkan untuk melindungi dan memperluaskan kehadiran syarikat dalam perniagaan insurans dan takaful motor di Malaysia.

 

Katanya, pentakrifan semula insurans yang berlaku dalam industri baru-baru ini memberikan fleksibiliti kepada penyedia insurans dan takaful untuk menawarkan harga perlindungan berdasarkan asas risiko pola kelakuan pengguna.

 

"Z-Driver menyediakan asas unik yang memberikan tambah nilai kepada pelanggan serta perlindungan menyeluruh atas jalan.

 

"Enam manfaat unik dan tambah nilai ditawarkan dalam pelan ini supaya pengguna dapat menyesuaikan perlindungan motor yang mereka mahukan mengikut keperluan dan permintaan masing-masing.

 

"Zurich Malaysia komited menyediakan perkhidmatan berkualiti dan pengalaman pelanggan yang terbaik meliputi perkhidmatan sokongan serta rangkaian khusus ejen di seluruh negara," katanya kepada BH.

 

Z-Driver menyediakan perlindungan menyeluruh meliputi kenderaan, perkara yang mereka sayangi dan diri mereka menerusi tiga elemen, iaitu premium rendah bagi pemandu berhemah, pelanggan setia, dan diskaun premium bagi pelanggan dengan akses sukarela.

 

Sementara itu, Fike berkata, Zurich Malaysia menggunakan data pelanggannya untuk merangka strategi yang dapat memenuhi permintaan jangka panjang bagi segmen pelanggan yang setia dan utamanya.

 

Hasilnya, beliau berkata, selain perlindungan menyeluruh 360 darjah, Z-Driver turut menawarkan nilai tambah seperti pampasan kerosakan air serendah RM10 setahun dan sehingga RM5,000 bagi menarik kereta untuk tujuan pembersihan akibat banjir.

 

"Kami juga menyediakan perlindungan kepada pengguna dengan perlindungan kemalangan sehingga RM175,000 bagi satu kereta pada harga serendah RM15 setahun.

 

"Jika pengguna berdepan dengan kemalangan atau kecurian kenderaan, mereka boleh ditawarkan kereta ganti seberapa banyak kali yang mereka perlukan supaya tidak mengganggu urusan harian," katanya.

Berita Harian X