Rabu, 25 Oktober 2017 | 4:05pm
Honda Clarity PHEV

Honda perkenal Clarity PHEV

TOKYO: Sebagai sebahagian Visi 2030 untuk mencatat 60 peratus jualan daripada kenderaan elektrik, Honda Motor Company memperkenalkan model Honda Clarity, kereta yang dijana sel-bahan api hidrogen (FCV).

Dibina daripada platform baharu sepenuhnya, Honda Clarity 2017 didatangkan dalam varian - plug-in-hybrid (PHEV) kereta elektrik (EV) dan fuel-cell (hidrogen).

Varian PHEV yang dipamerkan pada Tokyo Motor Show di sini akan mula dijual pada Jun 2018 di Jepun dan beberapa pasaran tertentu manakala varian fuel-cell dijual secara pajakan bermula dengan pasaran Amerika Syarikat.

Honda Clarity secara asasnya kereta elektrik biasa tetapi dengan pelbagai penambahbaikan seiring kemajuan teknologi terutama menerusi penerokaan lebih 20 tahun Honda dalam kereta elektrik.


HONDA belum mengumumkan rancangan membawa masuk Clarity PHEV ke Malaysia - Foto Abdul Halim Yusof

Cuma yang lebih menonjol, semua faktor penghalang yang dikaitkan dengan kereta elektrik sebelum ini seperti dakwaan bunyi penyedut hampagas, lembap dan rekaan tak menarik - semua sudah tiada.

Kereta elektrik termasuk yang menggunakan fuel-cell (sel-bahan api hidrogen), kini bukan lagi ujian sains. Ia sudah membuktikan keupayaan di jalan raya dan juga di trek lumba. Rombangan wartawan Malaysia yang dibawa Honda Malaysia Sdn Bhd berpeluang mengalami kebolehan Clarity varian FCV dan PHEV di Litar Twin Ring di Motegi, di sini.

Dari luar, Clarity yang menghasilkan kuasa 103kW dan 300nM tork kelihatan seperti kereta mewah manakala kemasan dalaman yang menyejukkan mata - dengan alat dan panel yang biasa bagi pengguna kenderan Honda. Tempat duduk pula ditona seperti dalam lounge dengan tona warna cerah manakala ruang but besar dan keupayaan perjalanan hampir 750km bagi varian FCV dengan satu isian penuh menjadikannya taruhan ideal untuk perjalanan keluarga dalam sedan mewah.


Honda Clarity PHEV.

Tekan butang 'start', enjin Clarity memang senyap dan tekan saja pendikit, model yang hampir sama saiz dengan Accord ini memecut tanpa masalah. Malah, ketika kami dipandu pelumba profesional di Litar Motegi, prestasi Clarity FCV varian sport yang digunakan dalam perlumbaan, sukar untuk percaya ia kereta elektrik.

Clarity FCV mendapat kuasa daripada sel-bahan api. Ia sel elektromekanikal yang mengubah tenaga kimia yang terhasil daripada tindak balas campuran hidrogen dan oksigen. Bagi sebuah EV, tindak balas kimia sudah tersimpan dalam bateri tetapi boleh cepat habis manakala tenaga sel-bahan api boleh berterusan selagi ada oksigen dan hidrogen. Bagi Clarity FCV, oksigen disedut masuk oleh generator yang dijana bateri manakala hidrogen diisi di stesen servis.

Para sel bahan api adalah lapisan-lapisan seperti wafer umpama sarang lebah, yang setiap satunya menuai tindak balas kimia antara oksiden dan hidrogen. Tanpa pembakaran petrol atau diesel, sisa yang keluar dari Clarity hanyalah wap air. Memang mesra alam.

Pembangunan sel-bahan api bukan baharu. Honda umpamanya sudah lebih 20 menguji FCV. Dalam tempoh itu banyak kemajuan sudah dicapai kerana jika dulu saiz sel-bahan api hampir sebesar almari, kini ia hanya sebesar sebuah beg pakaian. Sebab itulah dalam Clarity, sel bahan api dan motor kini, buat kali pertama boleh diletakkan dalam bonet, sama macam susunan enjin V6.


HONDA Clarity 2017 didatangkan dalam varian plug-in-hybrid (PHEV) kereta elektrik (EV) dan fuel cell (hidrogen). - Foto Abdul Halim Yusoff

Dengan kemajuan sebegitu, Honda menetapkan Visi 2030 untuk mencapai dua pertiga jualan kenderaannya daripada kenderaan elektrik, hibrid dan FCV. Tahun lalu, Honda menjual hampir lima juta unit kenderaan elektrik.

Dalam pada itu, Presiden Honda R&D Asia Pasifik, Hideo Komura, pula berkata jualan kenderaan elektrik, hibrid dan FCV dalam aliran peningkatan lantaran penerimaan yang semakin meluas daripada pengguna.

Katanya, dalam tempoh Januari hingga September 2017, sebanyak 580,000 unit dijual di Asia dan Oceania dengan pasaran terbesar di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, setakat ini Honda belum mengumumkan bila rancangan membawa masuk Clarity PHEV dan jangkaan harganya di Malaysia.

Berita Harian X