Rabu, 25 Oktober 2017 | 5:22pm
HONDA Urban EV.
HONDA Urban EV.

Tiga kereta konsep Honda EV

TOKYO: Honda Motor Company tampil pada edisi ke-45 Tokyo Motor Show yang bermula hari ini dengan tiga kereta konsep EV (kereta elektrik), sebuah daripadanya akan mula dikeluarkan pada 2020.

Model NeuV, konsep komuter yang sedang dibangunkan dengan matlamat sebagai pembantu. NeuV dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pemanduan automatik apabila boleh membuat pertimbangan mengenai keadaan tekanan dan sikap pemandu berdasarkan memek muka dan nada suara.

HONDA NeuV.
HONDA NeuV.

Model konsep Honda Urban EV pula kenderaan mesra guna dan teman rapat yang akan memudahkan kerja seharian pemiliknya. Urban EV jentera komuter di bandar yang dibangunkan berdasarkan konsep untuk memudahkan dan menambahbaik gaya hidup pengguna.

Jentera ini mengetengahkan fungsi komunikasi interaktif yang membolehkan ciri saling penyambungan dengan pelbagai peranti gaya hidup lain. Urban EV menampilkan rekaan mesra pengguna dengan kabin yang luas walaupun dalam saiz jentera yang kompak.

Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Takahiro Hachigo, yang mengumumkan tiga model EV konsep dan hala tuju syarikat, berkata Urban EV akan membuatkan pengguna berasa dekat sehingga sukar berenggang dengan jentera mereka.

KETUA Pegawai Eksekutif Honda, Takahiro Hachigo.
KETUA Pegawai Eksekutif Honda, Takahiro Hachigo.

"Kami merancang mula menjual kenderaan yang akan dibangunkan berdasarkan konsep Urban EV bermula di pasaran Eropah dan diikuti dengan Jepun pada 2020," katanya.

Sementara itu, model konsep ketiga iaitu Honda Sports EV menjadi antara tarikan pada pameran kali ini dan ia dijangka membantu mengubah saingan dan taruhan dalam segmen EV.

"Sports EV Concept tawaran terbaharu Honda, ... syarikat yang sentiasa ... tak kira masa, mahu memberikan nikmat pemanduan kepada pengguna pada bila-bila masa dengan sentuhan sport dan pengalaman yang mengujakan," kata Hachigo.

Beliau berkata, dibangunkan berdasarkan platform sama dengan Urban EV Concept, Honda merendahkan pusat graviti Sports EV bagi memberikan pemanduan yang sporty kepada pemandu.

"Sports EV menampilkan pakej sebuah kenderaan yang rendah dan berbadan lebar sekaligus menyerlahkan aspirasi kereta sport cantik yang rekaannya akan diterima pelbagai lapisan pengguna," katanya.

HONDA Sports EV Concept.
HONDA Sports EV Concept.

EDISI ke-45 Tokyo Motor Show bermula hari ini hingga 5 November.
EDISI ke-45 Tokyo Motor Show bermula hari ini hingga 5 November.

Pernyataan komitmen Honda itu sekaligus menjadi petanda bermulanya peralihan trend dalam dunia automotif kepada kereta elektrik, seiring tema pameran kali ini 'Beyond The Motor'.

Sudah terlihat jelas trend peralihan ke arah kenderaan yang mesra alam apabila majoriti pengeluar automobil dunia turut memperkenalkan model EV masing-masing.

Selain kereta konsep, Honda turut menampilkan beberapa model popularnya termasuk Civic Type-R, Civic sedan dan Hatchback; CRV, model plug-in hybrid (PHEV) Clarity dan rangkaian model motosikal yang sudah sebati dengan jenama Honda seperti Super-Cub 125cc dan Cross Cub serta model perdana Gold Wing.

Honda merancang memperkenalkan model CR-V serba baharu tahun depan dengan tambahan varian hibrid dan konfigurasi tiga baris tempat duduk. Model serba baharu Accord juga akan mula dijual di Amerika Utara tahun depan.

Edisi ke-45 Tokyo Motor Show bermula hari ini hingga 5 November. Pameran untuk pengunjung awam akan dibuka 27 Oktober ini. Seramai 900,000 orang dijangka mengunjungi pameran dwitahunan itu kali ini.

Berita Harian X