Isnin, 27 November 2017 | 5:32pm
DATUK Madani Sahari (kiri) dan Datuk Samson Anand George (kanan) bergambar bersama Syed Ahmad Azroee Syed Abdullah.- Foto Hafiz Sohaimi

Malaysia Autoshow 2017 tarik 255,000 pengunjung

KUALA LUMPUR: Malaysia Autoshow 2017 yang berlangsung dua minggu lalu berjaya menarik hampir 255,000 pengunjung.

Acara anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI) selama empat hari bertempat di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) disertai 170 pempamer termasuk jenama pengeluar kenderaan terkemuka dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari, berkata Malaysia Autoshow 2017 menutup tirai dengan jayanya apabila beberapa pengeluar memperkenalkan beberapa model baharu.

"Selain beberapa jenama memperkenalkan model baharu, antara acara menarik adalah Karting Slalom apabila kami menerima lebih 600 pendaftaran dalam pelbagai kategori termasuk penyertaan peserta paling muda yang berusia lapan tahun.

"Kami turut menerima kehadiran kira-kira 100 media dari Malaysia dan beberapa negara jiran termasuk Singapura dan Thailand," katanya kepada media selepas majlis penyerahan hadiah cabutan bertuah Malaysia Autoshow 2017 di sini, hari ini.

Pemenang utama, Syed Ahmad Azroee Syed Abdullah, 30, membawa pulang kereta Peugeot 208 PureTech bernilai RM89,888, manakala pemenang kedua, Cher Hang Boon, 42, membawa pulang motosikal Demak EX90 bernilai RM2,600.

Empat pemenang bertuah sagu hati, Mohd Helmi Bakar, 28; Muhammad Nur Aizat Abdul Samad, 29; Jason Tan, 47; dan Mohd Al Khafiz Zainal, 36; masing-masing membawa pulang baucar petrol BHP bernilai RM1,000.

Hadiah utama Peugeot 208 PureTech disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif NAZA Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George.

Madani berkata, MAI turut mengumumkan Malaysia Autoshow tahun depan dijangka berlangsung pada 12 hingga 15 April 2018 di venue sama iaitu MAEPS.

"Kejayaan Malaysia Autoshow 2017 menandakan komitmen industri dan penyertaan rakyat dalam sektor automotif. Tahun depan lebih banyak pameran dan hadiah akan ditawarkan.

"Kami juga sedang berbincang dengan beberapa pengeluar untuk membawakan lebih banyak kereta konsep pada acara tahun depan," katanya.

Berita Harian X