Selasa, 19 Disember 2017 | 1:09pm
DATUK Seri Ong Ka Chuan melawat 'Industry 4.0 Showcase: The New Horizon of Data-Driven Economy' selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Agensi di Institut Automotif Malaysia (MAI) hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri MITI, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari (kanan). - Foto BERNAMA
DATUK Seri Ong Ka Chuan bergambar bersama penerima sijil "Productivity Champion" pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Agensi di Institut Automotif Malaysia (MAI) hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri MITI, Datuk Ahmad Maslan. - Foto BERNAMA

Capai sasaran hab EEV menjelang 2020

CYBERJAYA: Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran menjadi hab kenderaan cekap tenaga (EEV) menjelang 2020, menerusi peningkatan pengeluaran kenderaan itu tahun ke tahun.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata setakat Oktober tahun ini, kadar penembusan EEV di negara ini sudah mencatatkan 45 peratus dan dijangka mampu meningkat sehingga 50 peratus pada akhir 2017, berbanding 42.8 peratus tahun lalu.

"Usaha berterusan dijalankan bagi menggalakkan penggunaan EEV pada masa depan dan pelbagai inisiatif yang diberikan, selaras dengan Dasar Automotif Kebangsaan 2014 (NAP) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab EEV serantau menjelang 2022.

"Kita kini berada di landasan tepat untuk mencapai matlamat itu dan mampu mencapai sasaran 60 peratus penembusan EEV di negara ini pada tahun depan," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan MITI dan agensi, anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri MITI, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi MAI, Datuk Phang Ah Tong dan Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari.

Ka Chuan berkata, dasar EEV disesuaikan bagi memenuhi permintaan masa depan dalam teknologi kenderaan, selain keperluan untuk melahirkan buruh mahir, pelaburan dalam teknologi dan mobiliti yang mampan.

"Penggunaan EEV mempunyai prospek pasaran cukup baik dan sudah digunakan secara menyeluruh di bandar maju seluruh dunia.

"Malaysia juga perlu bergerak selari dengan trend berkenaan dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran, selain mempraktikkan teknologi yang lebih berdaya saing serta ke depan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika penggunaan EEV digunakan sebaik mungkin, ia juga membantu menawarkan harga kereta lebih kompetitif yang seterusnya mengurangkan kos kepada pengguna.

Berita Harian X