Isnin, 2 April 2018 | 3:29pm
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Malaysia Autoshow dianjur April setiap tahun

KUALA LUMPUR: Bermula tahun ini, Malaysia Autoshow akan dianjurkan pada April setiap tahun untuk mengelakkan pertembungan dengan pameran automotif antarabangsa lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari, berkata keputusan penukaran tarikh penganjuran itu berbanding November setiap tahun membolehkan lebih banyak aktiviti dianjurkan.

"Keputusan (penukaran tarikh) disebabkan kebanyakan pameran antarabangsa utama seperti Tokyo, Frankfurt dan Paris berlangsung pada separuh kedua.

"Selain untuk mengelakkan kesesakan, tarikh baharu pada April akan membolehkan Malaysia Autoshow menyediakan pelbagai item pameran yabg lebih menarik seperti kenderaan konsep dan teknologi terkini berkaitan pengangkutan dan mobiliti," katanya kepada media pada sidang media di sini, hari ini.

Malaysia Autoshow akan berlangsung pada 26 hingga 29 April di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Madani berkata, hampir semua jenama automotif terbesar negara akan menyertai Malaysia Autoshow yang bertemakan '360-degree Mobility Experience'.

"Lebih 100 kereta termasuk model terbaharu di pasaran serta kereta klasik Volvo akan dipamerkan," katanya.

Antara daya tarikan Malaysia Autoshow adalah peluang memahami masa depan mobiliti Intelligent Mobility Experience (IMEX), kereta Kia Picanto untuk pemenang cabutan bertuah serta penampilan sulung lagenda Jerman, Borgward.

Berita Harian X