Khamis, 26 April 2018 | 2:26pm
DATUK Seri Najib Razak bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive Institute (MAI), Datuk Madani Sahari (kiri) merasmikan Malaysia Autoshow 2018 serta MDOTS di MAEPS Serdang. - Foto Syarafiq Abd Samad

Mobiliti terhubung bakal cetus fenomena baharu automotif

SERDANG: Industri automotif tempatan bakal berkembang kepada industri mobiliti terhubung dalam tempoh lima tahun akan datang, demikian mengikut Institut Automotif Malaysia (MAI).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari, berkata industri mobiliti terhubung adalah keadaan yang mana semua jenis mod pengangkutan mempunyai akses kepada internet dan boleh berinteraksi secara langsung, sama ada dalam keadaan statik mahupun ketika sedang bergerak.

Katanya, interaksi itu boleh berlaku di antara kenderaan dengan kenderaan, kenderaan dengan infrastruktur mahu pun kenderaan dengan persekitaran.

"Contohnya, kereta pada masa depan akan mempunyai akses kepada internet dan mampu untuk berkomunikasi dengan kereta lain yang turut mempunyai akses internet.

"Ia juga boleh berhubung dengan infrastruktur seperti lampu trafik, boleh tahu tahap kesesakan jalan raya, hospital, sekolah, pejabat atau apa-apa kemudahan yang mempunyai internet.

"Jika anda mahu buat temu janji, tidak perlu buat panggilan, hanya menerusi sistem ini sudah boleh aturkan temu janji.

"Kita jangkakan industri mobiliti terhubung akan mula berkembang di Malaysia dalam tempoh lima tahun lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Jerayawara Mobiliti Terhubung dan Malaysia Autoshow 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Madani berkata, kecerdasan buatan adalah antara elemen yang terbabit dalam mobiliti terhubung.

Katanya, kecerdasan buatan boleh bertindak sebagai sensor kereta menjadikan kenderaan lebih pintar apabila boleh membuat rumusan berpandukan data yang diperoleh.

"Sebagai contoh, apabila sensor ini mengesan ada seorang kanak-kanak di depannya, data ini akan diproses dan dirumuskan supaya ia berhenti bagi mengelakkan berlaku perlanggaran," katanya.

Beliau percaya industri itu bakal menawarkan banyak manfaat baharu termasuk peluang pekerjaan.

"Industri automotif akan berubah dari apa yang ada hari ini kepada industri mobiliti terhubung. Banyak perkhidmatan dan perniagaan baharu akan muncul," katanya.

Berita Harian X