Rabu, 3 Oktober 2018 | 4:35pm
KETUA Pegawai Eksekutif Bermaz Auto Bhd, Datuk Seri Ben Yeoh. - NSTP/ Zulfadhli Zulkifli

Bermaz Auto mahu tingkatkan pengeluaran CKD

KUALA LUMPUR: Bermaz Auto Bhd (Bermaz Auto), pemasang dan pengedar jenama kenderaan Mazda di Malaysia komited untuk terus mempertingkatkan pengeluaran kereta yang dipasang secara tempatan (CKD) selari dengan seruan kerajaan dalam mempromosikan kereta yang dipasang di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ben Yeoh, berkata pada masa ini syarikat itu banyak menghasilkan kereta secara tempatan bukan saja untuk Malaysia malah pasaran serantau iaitu di Thailand dan Filipina.

"Untuk memastikan aktiviti pemasangan tempatan berdaya maju, kita perlu memiliki jumlah kenderaan kritikal sepanjang masa dan oleh sebab itu, kami mengambil keputusan untuk menghasilkan hanya satu model iaitu Mazda CX-5 untuk pasaran serantau," katanya pada media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Bermaz Auto di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikat dijangka mampu untuk menghasilkan hampir 100,000 unit CX-5 dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus membuka peluang kepada pembekal komponen tempatan untuk meningkatkan pelaburan dalam pengeluaran kuantiti lebih besar.

"Oleh itu, kami akan memanfaatkan pasaran serantau melalui kawasan perdagangan bebas Asean (AFTA) kerana ia tidak memiliki halangan tarif selain akses pasaran yang dapat menjadikan kami lebih berdaya maju," katanya.

Pada masa ini, Bermaz Auto sudah menerima tempahan untuk 6,000 kenderaan Mazda untuk pasaran tempatan.

Yeoh berkata, jumlah tempahan yang kukuh itu dilihat akan membantu syarikat menangani situasi ketidaktentuan di pasaran pada masa ini.

Untuk suku terakhir tahun ini, syarikat berharap dapat memperkenalkan beberapa model baharu untuk menarik perhatian pengguna dalam usaha memastikan jenama Mazda sebagai pilihan mereka.

"Kami melihat beberapa model berpotensi termasuk Mazda 6 baru, CX-5 (penambahbaikan spesifikasi) dan CX-3 bergantung kepada situasi dan pasaran semasa," katanya.

Mengulas mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), beliau berkata pihaknya akan menyerap cukai terbabit yang dijangka memberi impak kepada pengurangan margin syarikat.

"Selain itu, akan terdapat pengurangan insentif pengedar di mana mereka mungkin dapat mengekalkan margin pengedar penuh tanpa sebarang potongan," katanya.

Berita Harian X