Isnin, 8 April 2019 | 3:20pm
TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Kajian semula NAP diumum suku kedua

CYBERJAYA: Kajian semula Dasar Automotif Nasional (NAP) akan diumumkan pada suku kedua ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, kajian semula NAP itu akan merangkumi pelbagai langkah untuk meningkatkan daya saing industri dengan teknologi masa hadapan.

Katanya, ia juga termasuk membangunkan Malaysia sebagai hab automotif serantau bagi kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Di samping itu, kajian semula NAP akan menangani unsur-unsur semasa NAP dan memberi tumpuan kepada pelbagai langkah yang diperlukan bagi meningkatkan daya saing industri.

“Langkah ini diambil dengan mengguna pakai trend teknologi masa depan, seperti kenderaan generasi baharu (NxGV), mobiliti sebagai perkhidmatan dan Revolusi Industri 4.0 termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Bandar dan E-Mobiliti di Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Duta Besar Jerman ke Malaysia, Nikolaus Graf Lambsdorff; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari dan Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman, Daniel Bernbeck.

Kian Ming berkata, kajian semula NAP itu juga memberi tumpuan kepada laluan dan arah pergerakan baharu corak pemanduan yang akan diselaraskan dengan penambahbaikan pengangkutan awam serta meneroka pembangunan vendor dalam ekosistem.

Ini, katanya akan mendorong industri automotif menjadi sesuatu yang lebih mampan dan mesra alam seperti e-mobiliti yang bukan saja menawarkan potensi pertumbuhan yang kukuh tetapi peningkatan jumlah kenderaan EEV.

“Lantaran itu, bagi mencapai matlamat ini seiring dengan semakan semula NAP, kerjasama antarabangsa adalah penting,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kian Ming berkata Jerman adalah rakan kerjasama yang ideal kepada Malaysia dalam melaksanakan inisiatif ekosistem e-mobiliti memandangkan industri automotif tempatan sedang bergerak ke hadapan dengan pelaksanaan kenderaan elektrik dan teknologi baru.

Beliau berkata, syarikat Jerman boleh menyumbang melalui pengetahuan teknikal dan profesional untuk menerajui standard yang tinggi bagi mencapai daya saing global.

“Di samping itu, Jerman terkenal dengan dedikasi dan kejayaannya dalam tenaga boleh diperbaharui, dengan 35 peratus daripada tenaga elektrik dijana daripada tenaga boleh diperbaharui untuk kuasa kenderaan elektrik,” katanya.

Sementara itu, Madani berkata Jerman memiliki kekuatan dalam sektor automotif yang diiktiraf global.

Beliau berkata, industri automotif Jerman merangkumi nilai-nilai inovasi, kebolehpercayaan, keselamatan dan reka bentuk yang terkini.

Pada masa akan datang, katanya Jerman bakal menyediakan prestasi teknologi kelas atas melalui infrastruktur yang luar biasa, kemudahan penyelidikan antarabangsa berprestij tinggi dan pelaburan yang dinamik serta menjadi pusat inovasi automotif dunia.

“Malaysia bercita-cita untuk membangunkan ekosistem mobiliti dengan prasarana mobiliti komprehensif, terancang dan pintar, dengan pembangunan bakat dan kapasiti perniagaan.

“Lantaran itu Jerman adalah contoh yang baik untuk Malaysia, terutamanya pengukuhan pembangunan perniagaan dan bakat melalui perkongsian awam-swasta antara kerajaan, ahli akademik dan peserta industri,” katanya.

123 dibaca
Berita Harian X