Selasa, 9 April 2019 | 1:42pm
BMW 330i M Sport.

BMW 330i M Sport miliki segalanya

Sesuai dengan statusnya sebagai antara sedan sport premium terlaris dunia, BMW 3 Series menetapkan tanda aras yang baharu dengan reka bentuk atletik yang tiada tandingannya, teknologi inovatif dan prestasi dinamik.

Generasi ketujuh sedan sport ikonik ini membuka halaman baharu bagi kisah kejayaannya mengisarkan sedan sport yang terunggul sebagai nadi jenama BMW.

Sedan sport yang terunggul daripada BMW itu diperkenalkan dalam pakej ‘M Sport’ khas atau BMW 330i M Sport untuk Malaysia, dan ia menampilkan reka bentuk sport yang dinamik dengan dimensi baharu.

Ia merevolusikan Kenikmatan Pemanduan yang Sempurna dengan ciri keterhubungan yang bertaraf tinggi, termasuk pengenalan fungsi baharu dalam kelas seumpamanya, ‘BMW Intelligent Personal Assistant’ dengan kepintaran pengiktirafan suara yang luar biasa.

Fungsi inovatif seperti kunci digital (BMW Digital Key) juga kini ditawarkan bagi BMW 3 Series baharu, membolehkan pemilik membuka kunci kenderaan mereka dan menghidupkan enjin dengan penggunaan telefon pintar Android tertentu dengan teknologi ‘Near Field Communications’ (NFC).

Sedan sport premium itu juga didatangkan dengan Bantuan Parkir (Parking Assistant) yang turut disertakan dengan Bantuan Mengundur (Reversing Assist) yang membolehkannya mengundur secara separa autonomi pada kelajuan rendah melalui ruangan yang sempit.

Enjin berkuasa

Enjin petrol Turbo TwinPower 2.0 liter yang paling berkuasa dalam kelas seumpamanya dipasang pada model BMW dan ia diperkenalkan menerusi BMW 330i M Sport baharu.

Ia mampu menjana kelajuan tertinggi mencecah 250 kilometer sejam (km/j) dan berupaya untuk menjana output sebanyak 190 kW atau 258 kuasa kuda (hp) dengan tork puncak setinggi 400 Nm daripada lingkungan 1,550 hingga 4,400 rpm.

Ia boleh memecut daripada kelajuan 0 hingga 100 kilometer (km) dalam masa 5.8 saat.

Yang paling mencuri tumpuan adalah tork puncak 400 Nm, di mana tahap responsif model ini mampu menyaingi model sport lain.

Dengan transmisi Steptronic Sport 8-kelajuan yang dikemas kini, sedan sport terunggul ini hanya menggunakan bahan bakar yang berjumlah 6.4 liter setiap 100 km.

Pelepasan karbon pula dikurangkan pada tahap 147 g/km dan juga dioptimumkan dengan penapis zarah yang termasuk dalam sistem rawatan ekzos.

BMW 3 Series yang terbaharu memenuhi standard ekzos Euro 6d-TEMP untuk prestasi pemanduan yang tiada tandingannya tanpa jejak karbon.

Ekspresi keupayaan sport

Keterampilan BMW 3 Series yang baharu ini menyerlahkan kuasa dan ketangkasan, dan pada masa yang sama, mengekalkan keanggunan menerusi garisan jitu dan permukaan yang rapi.

Ia juga mempunyai dimensi saiz 76 mm (4,709 mm) lebih panjang, 16 mm (1,827 mm) lebih lebar dan 6 mm (1,435 mm) lebih tinggi berbanding model terdahulu, lantas meningkatkan tahap keselesaan bagi penumpang di tempat duduk belakang. Jarak roda juga lebih luas dengan ukuran tambahan 41 mm (2,851 mm).

Gril kidney klasik kini tampak lebih besar dan lebar. Ia mengunjur ke lampu hadapan berkembar yang dilengkapi dengan LED serta didatangkan dengan teknologi Bi-LED.

Lampu belakang tiga dimensi yang langsing dipasang dalam bentuk L diberi penekanan melalui penggunaan kaca berkabus untuk tarikan serba mewah – memberikan impresi pertama yang penuh sofistikasi kepada orang yang melihatnya.

Siluet dengan jarak roda yang luas, rungkup pendek, garis bumbung persis coupe yang samar dan lengkok Hofmeister pada tiang C (C-pillar) akan mempesonakan peminatnya dengan gaya reka bentuk yang kemas.

Karakter yang luar biasa hadir dalam bentuk bibir spoiler aerodinamik yang dipasang di bahagian belakang dengan dua ekzos 90 milimeter yang tersendiri memberikan jentera BMW 3 Series baharu ini ketangkasan dan kelincahan yang digeruni.

Pemanduan dinamik

Struktur casis yang rapi bagi BMW 3 Series baharu ini menyaksikan dinamik pemanduan yang diperkayakan, karakter pengendalian yang lincah, keupayaan pengemudian berketepatan tinggi dan prestasi brek yang cemerlang ditonjolkan dalam karya binaan ini.

Pemilik boleh mengharapkan sebuah kenderaan yang lebih ringan dan teguh kerana jumlah beratnya dikurangkan sebanyak 25 kilogram (berat tanpa muatan berjumlah 1,545 kg), ihsan teknik konstruksi ringan serba pintar yang diguna pakai dalam pembikinan kenderaan ini.

Suspensi ‘M Sport’ akan menyerlahkan peredam (damper) yang berkait dengan daya angkat jentera ini, diperkenalkan buat pertama kali dan mencontohi sistem peredam yang inovatif.

Ia berfungsi secara berterusan di samping unjuran spring yang berubah-ubah, meneutralkan getaran yang berlaku ketika melalui bonggol dan menjadikan olahan pembelokan yang lebih dinamik.

Trek tayar yang diperluaskan juga meningkatkan tahap kelincahan serta ketepatan pengendalian kenderaan ini sementara angkup berwarna biru yang memaparkan logo M dilengkapkan pada brek M Sport, lantas menyumbang kepada elemen reka bentuk signaturnya. Pakej M Sport juga meliputi roda M Light Alloy 18 inci, Double Spoke Style 790 M, Orbit Grey dwi-warna dengan tayar bercampur.

Penuh ciri futuristik

Dipenuhi dengan ciri futuristik, model baharu ini juga menampilkan langganan ‘BMW Connected Package Professional’, bersama kefungsian ‘BMW Intelligent Personal Assistant’ dan ‘BMW Digital Key’ yang menjadikan pemilikan BMW 3 Series ini lebih memuaskan.

Fungsi BMW Intelligent Personal Assistant bakal merevolusikan kenikmatan pemanduan sementara ia menembusi sebuah era yang menyaksikan pengoperasian kenderaan serta pelbagai kefungsiannya dengan menggunakan suara.

Dengan BMW Digital Key, jentera BMW 3 Series baharu ini boleh dibuka dan dikunci dengan mudah menerusi penggunaan teknologi Near Field Communication (NFC) yang dilengkapi dalam pilihan telefon pintar Android Samsung apabila diletakkan berhampiran pemegang pintu.

Enjin kenderaan ini kemudiannya boleh dihidupkan dengan meletakkan telefon pintar ke dalam ruang penyimpanan yang turut mempunyai fungsi pengecasan.

Banyak lagi fungsi dan ciri yang sangat menarik yang ditawarkan menerusi model ini.

BMW 3 Series yang baharu ditawarkan dalam lima warna yang mempesonakan, Portimao Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey, Sunset Orange, dipadankan dengan warna hitam premium atau upholsteri ‘Cognac Leather Vernasca’ dan kemasan trim interior ‘Aluminium Tetragon’.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) BMW 330i M Sport adalah RM 328,800.

Berita Harian X