Selasa, 9 April 2019 | 5:17pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mercedes Benz Malaysia Bhd, Dr Claus Weidner (kanan) bersama Naib Presiden Mercedes Benz Malaysia, Jualan dan Pemasaran, Mark Raine melancarkan kereta A - Class Limousine Mercedes Benz di Kampung Attap. Owee Ah Chun.

MBM jual 2,944 unit Mercedes-Benz suku pertama

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menjual 2,944 unit pelbagai model jenama Mercedes-Benz pada suku pertama tahun ini, sedikit tinggi berbanding 2,934 unit yang dicatatkan pada suku keempat tahun lalu, namun rendah daripada 3,330 unit yang dijual pada suku pertama 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Dr Claus Weidner, berkata meskipun pasaran automotif berdepan persekitaran mencabar, namun pengeluar jenama premium Jerman itu masih mampu mencatatkan jualan positif.

Katanya, prestasi memberangsangkan MBM itu menyaksikannya kekal sebagai jenama automotif premium utama di Malaysia dengan penguasaan pasaran 2.4 peratus.

“Jualan memberangsangkan ini dipacu langkah MBM memperkenalkan lima varian baharu iaitu E200 SPORTSTYLE Avantgarde, E 300 Exclusive, E 350 AMG Line, GLC 300 Coupe dan GLE 450 AMG Line bagi terus meneraju pasaran domestik,” katanya kepada media selepas mengumumkan prestasi jualan suku pertama 2019 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine.

Sepanjang tiga bulan pertama 2019, MBM menjual 1,714 unit limosin, 108 unit kereta impian, 427 unit kompak dan 695 unit kenderaan utiliti sukan (SUV).

Weidner berkata, MBM akan terus memperkasakan pengalaman jenama menerusi penyelesaian mobiliti inovatif dengan memperkenalkan produk baharu dan memperkaya pengalaman servis pelanggannya.

“Kami terus kukuh di negara ini meskipun pasaran automotif khususnya segmen premium agak mencabar tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Raine berkata, prestasi memberangsangkan pada suku pertama turut disokong rekod jualan bulanan tertinggi yang diraih pada Mac iaitu 1,334 unit.Katanya, jualan tertinggi yang direkodkan pada Mac itu disokong pakej pembiayaan dan servis komprehensif yang ditawarkan kepada pelanggan.

“Setakat suku tahun dikaji, portfolio pembiayaan Mercedes-Benz Services Malaysia (MBSM) berjumlah RM2.7 bilion dengan RM321 juta diraih dalam tempoh Januari-Mac,” katanya.

Pada acara sama, MBM turut memperkenalkan limosin A-Class yang ditawarkan dengan dua varian iaitu A 200 Progressive Line dan A 250 AMG Line yang masing-masing ditawarkan pada harga anggaran iaitu RM229,888 dan RM267,888.

Berita Harian X