Jumaat, 19 Julai 2019 | 2:46pm
PENGELUAR kereta Jerman, BMW dan syarikat gergasi dalam talian China, Tencent Holdings menjalin kerjasama untuk melancarkan pusat perkomputeran di China yang akan membantu membangunkan kereta pandu sendiri dalam pasaran automotif terbesar dunia itu. - Foto Reuters

BMW, Tencent buka pusat komputer kereta pandu sendiri

BEIJING: Pengeluar kereta Jerman, BMW dan syarikat gergasi dalam talian China, Tencent Holdings menjalin kerjasama untuk melancarkan pusat perkomputeran di China yang akan membantu membangunkan kereta pandu sendiri dalam pasaran automotif terbesar dunia itu.

Pusat perkomputeran itu, yang akan mula beroperasi menjelang akhir tahun ini, akan menyediakan kereta dengan keupayaan mencerna data bagi membantu kereta itu memandu secara separa automatik, dan kemudian secara automatik sepenuhnya.

Dua syarikat itu tidak mendedahkan pelaburan dalam pusat berkenaan.

Sumber berkata, pusat itu akan dibangunkan di timur bandar Tianjin.

“Penubuhan pusat itu akan menyokong pembangunan dan inovasi pemanduan secara sendiri BMW di China,” kata Ketua Operasi BMW China, Jochen Goller dalam satu kenyataan.

“Oleh itu, BMW boleh membangunkan penyelesaian memandu sendiri yang sesuai dengan keadaan pemanduan tertentu di China,” katanya.

BMW berkata, pusat pengkomputeran baharu itu akan memanfaatkan pengkomputeran awan dan data besar Tencent, dan menyediakan pengeluar kereta itu dengan infrastruktur yang diperlukan untuk membangunkan kereta pandu sendiri.

Pengeluar kereta yang beribu pejabat di Munich itu mengatakan bahawa ia mungkin akan memperkenalkan kereta separa automatik atau klasifikasi L3, di China pada 2021 yang akan memerlukan kuasa pengkomputeran besar-besaran untuk menganalisis aliran masa sebenar maklumat digital mengenai keadaan jalan dan lalu lintas.

Kereta tanpa pemandu memerlukan keupayaan mencerna data yang canggih kerana ia bergantung kepada apa yang dikenali sebagai kecerdasan buatan, atau teknologi rangkaian neuro , untuk membantu mereka "belajar" daripada pengalaman dan akhirnya boleh memandu sendiri tanpa campur tangan manusia.

Rancangan BMW menubuhkan pusat pengkomputeran di China menjejaki pembukaan pusat pengkomputeran yang sama di Munich awal tahun ini.

-Reuters

Berita Harian X