Khamis, 1 Ogos 2019 | 9:14pm
KETUA Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong. - Foto Zunnur Al Shafiq

PROTON kembali menduduki tempat kedua dalam keseluruhan jualan

SUBANG JAYA: PROTON Holdings Bhd (PROTON) kembali menduduki tempat kedua dalam jumlah keseluruhan jualan untuk pasaran automotif Malaysia selepas kali terakhir mendududukinya pada Mac 2016.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pengeluar kereta nasional itu berkata, prestasi itu disokong oleh jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70, Proton Persona sedan dan hatchback Proton Iriz.

Menurut PROTON, jualan syarikat itu meningkat bulan lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan adalah satu-satunya jenama yang mencatat kejayaan itu.

"Kembalinya PROTON ke tempat kedua secara keseluruhan di pasaran automotif Malaysia berlaku lebih awal daripada jadual," kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, dalam kenyataan itu.

Chunrong berkata, pertumbuhan permintaan bagi produk PROTON menunjukkan bahawa syarikat berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran jangka panjangnya.

“Sepanjang tahun 2019, kami berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan kami untuk menamatkan tahun di kedudukan kedua buat kali pertama dalam tempoh empat tahun.

"Dengan pelancaran Proton Saga yang dikemaskini dijadualkan tidak lama lagi serta pengenalan produk kami yang lain dalam perancangan, kami yakin memperoleh keputusan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.

PROTON berkata, bahagian pasarannya untuk bulan Julai dianggarkan pada 16.5 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) yang dianggarkan sebanyak 51,960 unit, manakala bahagian pasaran keseluruhan kini dianggarkan 15 peratus.

Selepas mencapai kenaikan 23 peratus dalam jualan pada bulan Jun, PROTON berkata, ia meningkat sebanyak enam peratus lagi pada bulan Julai dengan jumlah jualan sebanyak 8,590 unit.

Katanya, Proton X70 Premium dan varian Eksekutif terus menjadi peneraju dalam segmen SUV masing-masing dengan 1,932 unit yang dihantar pada bulan Julai dan sejumlah 17,023 unit untuk 2019.

Sementara itu, Proton Persona mencatatkan jualan sebanyak 2,720 unit pada bulan Julai, menjadikannya kenderaan sedan segmen-B paling laris di pasaran, manakala Iriz merekodkan jualan sebanyak 974 unit pada bulan Julai dan 3,035 unit untuk tahun ini, menjadikannya jualan hatchback segmen-B terbaik.

Proton Saga pula merekodkan jualan sebanyak 2,381 unit pada bulan Julai untuk jumlah keseluruhan 17,722 unit untuk tahun ini.

"Walaupun Proton X70 meneruskan trajektorinya, model lain Proton menjadi asas prestasi kami. Proton Persona kini menjadi pemimpin jualan dalam segmen yang diterajui oleh produk Jepun, manakala Proton Saga masih menjadi pilihan popular dalam kalangan pembeli kereta kali pertama yang mencari kenderaan yang selamat, boleh dipercayai dan ekonomi.

"Malah, Proton Iriz telah menyaksikan peningkatan dalam permintaan dengan jualan meningkat lebih 50 peratus, yang mana syarikat berasa terharu dengan pembeli Malaysia yang meletakkan kepercayaan terhadap jenama kami," kata Chunrong.

Berita Harian X