Khamis, 1 Ogos 2019 | 10:02pm
KETUA Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad. - Foto Asyraf Hamzah

PERODUA jangka jualan Januari-Julai cecah 140,900 unit

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menjangkakan jualan semua model keluarannya mencecah 140,900 unit bagi Januari-Julai lalu yang menyamai tempoh sama pada 2018.

Pengeluar kereta itu menyifatkan pencapaian terbabit hasil kejayaan syarikat itu mengurangkan tempoh menunggu bagi model Aruz kepada 1-1.5 bulan berbanding sehingga 2.5 bulan pada pengeluaran sebelum ini.

Malah, model Aruz kini muncul sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) paling popular di Malaysia dengan sejumlah 17,989 unit telah dijual bagi tempoh Januari-Julai tahun ini.

“Tanpa mengambil kira keadaan (semasa), kami bernasib baik kerana prestasi setakat ini masih setanding dengan impak sewaktu tempoh tanpa cukai (tahun lalu)," kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PERODUA juga masih berpegang kepada sasaran jualan sebanyak 235,000 unit menjelang akhir tahun ini iaitu peningkatan kira-kira 3.4 peratus daripada 227,234 unit yang dijual pada 2018.

Sasaran jumlah pengeluaran bagi 2019 juga telah disemak semula kepada 249,000 unit iaitu meningkat sebanyak 2.9 peratus berbanding sasaran awal sebanyak 242,000 unit.

Kedua-dua kilang pengeluaran syarikat itu turut beroperasi pada kapasiti 97 peratus yang disifatkan PERODUA sebagai stabil pada paras optimum keadaan operasi.

Kapasiti terbabit juga telah ditingkatkan daripada angka tahun lalu iaitu masing-masing 96.2 peratus bagi Perodua Manufacturing Sdn Bhd dan 94.6 peratus untuk Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, manakala jumlah kecacatan/kerosakan bagi setiap unit (DPU) di kedua-dua kilang turut mencatat penurunan. - BERNAMA

223 dibaca
Berita Harian X