Ahad, 4 Ogos 2019 | 7:05pm
PENGARAH Urusan MBSM, Mike J Ponnaz. - Foto Hafiz Sohaimi

Mercedes-Benz Services miliki portfolio pembiayaan RM2.7b

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Services Malaysia Sdn Bhd (MBSM) merekodkan portfolio pembiayaan kenderaan mencecah RM2.7 bilion setakat tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Mike J Ponnaz, berkata selepas MBSM beroperasi sejak enam tahun, Malaysia disifatkan sebagai pasaran baharu berdaya saing di rantau ini.

Katanya, sebagai anak syarikat Daimler AG yang belum memasuki usia sedekad di Malaysia, pencapaian pembiayaan 50 peratus daripada keseluruhan jualan kenderaan syarikat sekutu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menerusi jenamanya Mercedes-Benz Financial adalah cukup kukuh.

“Pencapaian portfolio mencecah RM2.7 bilion setakat tahun lalu juga menjadikan MBSM sebagai penyedia pembiayaan dan insurans bagi semua kenderaan Mercedes-Benz dan trak Fuso nombor satu di Malaysia,” katanya ketika ditemui BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ponnaz berkata, MBSM beroperasi di Malaysia pada November 2012 dan berkembang dengan mampan yang mana secara purata ia kini membiayai lima daripada 10 kenderaan Mercedes-Benz di Malaysia dan menyediakan insurans kepada enam daripada 10 kereta penumpang jenama terbabit.

“Jumlah portfolio kami setakat tahun lalu adalah sekitar 590 juta euro. Kami masih baharu dan kecil tetapi tumbuh begitu pantas. Pasaran Thailand yang sudah beroperasi sejak 1996 mengumpul 1.2 bilion euro dan pasaran Jepun serta Korea Selatan yang sudah lama beroperasi pula mencecah 3 bilion euro.

“Apa yang dilakukan MBSM untuk kekal mencatat pertumbuhan adalah berpaksikan pelanggan dan produk yang inovatif,” katanya.

Ponnaz berkata, syarikat memiliki sasaran untuk mencapai kadar penembusan 100 peratus pada masa depan, namun buat masa ini, pertumbuhan secara organik tetapi kukuh memadai, apatah lagi kehadiran MBSM di Malaysia meningkatkan pilihan pembiayaan kepada pelanggan kereta premium itu.

“Jika anda tanya sasaran 100 peratus pembiayaan. Sudah pasti ada. Namun, biarlah kami terus mencatat pertumbuhan saban tahun. Malaysia adalah pasaran terbuka untuk automotif. Kita mahu melihat cabaran kerana ia bagus untuk kami berinovatif dalam menyediakan perkhidmatan dan barisan produk,” katanya.

Beliau menjelaskan, pertumbuhan yang dicatatkan MBSM berkait rapat dengan jualan kenderaan oleh MBM yang mana sejak empat tahun lalu, pendaftaran kenderaan Mercedes-Benz mencatatkan rekod baharu tahu lalu iaitu 13,079 unit, berbanding 9,416 unit pada 2014.

“Jika MBM mencatat pertumbuhan jualan yang kukuh, MBSM turut akan meraih manfaat. Untuk kekal mencatat pertumbuhan dan menjadi peneraju pasaran, kami perlu mengutamakan pelanggan dengan sentiasa peka dengan perubahan citarasa, keperluan dan tingkah laku pelanggan,” katanya.

Ponnaz berkata, pembiayaan yang disalurkan MBSM lebih fleksibel berbanding institusi perbankan, namun ia masih terikat dengan keperluan Bank Negara Malaysia (BNM) termasuk Akta Sewa Beli.

“Kelebihan kami adalah produk yang dibangun dan diolah untuk memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.

Ketika ini, MBSM memiliki beberapa produk pembiayaan utama iaitu AgilityFinancing, FinanceCare dan [email protected].

Berita Harian X