Ahad, 4 Ogos 2019 | 8:29pm

Nissan, Renault pertimbang penstrukturan semula FCA

NEW YORK: Nissan Motor Co dan Renault SA sedang mempertimbangkan untuk bekerjasama mengadakan penstrukturan semula dengan pembuat kereta Amerika Syarikat-Itali, Fiat Chrysler (FCA), demikian menurut laporan media AS pada Jumaat.

Rundingan penggabungan antara Renault dan FCA sebelum ini gagal pada Jun, disebabkan pengerusi Renault menyalahkan Kerajaan Perancis bagi menyekat undian terhadap perjanjian yang akan menguntungkan industri automotif global dan akan mewujudkan pembuat kereta ketiga terbesar dunia.

Kerajaan Perancis bagaimanapun menafikan tuduhan berkenaan, sementara Nissan mempertikaikan kerjasamanya dengan Renault dengan menganggap ia tidak seimbang dan berkata pembuat kereta Perancis itu mempunyai perancangan tersendiri bagi penggabungannya dengan FCA.

Memetik kenyataan emel dan sumber terdekat dengan syarikat berkenaan, The Wall Street Journal melaporkan Nissan kini meminta Renault untuk mengurangkan pegangannya sebanyak 43 peratus dalam syarikat pembuat kereta Jepun itu.

Nissan memiliki pegangan 15 peratus dan tidak mempunyai hak mengundi dalam Renault, yang mana Renault turut dimiliki oleh Kerajaan Perancis.

Kerjasama yang seimbang akan membantu mengurangkan beberapa ketegangan yang berlaku antara gergasi automotif itu.

Satu draf perjanjian mengenai penstrukturan semula rundingan kerjasama itu akan dibuat seawal September, menurut laporan Journal menerusi satu emel pada Julai.

Sebarang perjanjian yang dibuat memerlukan kelulusan daripada Kerajaan Perancis, yang turut memiliki pegangan sebanyak 15 peratus ke atas Renault.

Pada akhir Jun lalu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, beliau tidak akan mempertimbangkan sebarang perubahan terhadap struktur kedua-dua syarikat terbabit.

Pada bulan sama, pemegang saham Nissan meluluskan rombakan yang bertujuan untuk mengukuhkan tadbir urus di syarikat berkenaan selepas mantan peneraju Nissan, Carlos Ghosn ditahan atas tuduhan salah laku kewangan.

Nissan dan Renault bagaimanapun enggan memberikan sebarang ulasan mengenai rundingan itu. - AFP

99 dibaca
Berita Harian X