Ahad, 4 Ogos 2019 | 8:39pm
CR-V Mugen Concept.

Edisi Terhad CR-V Mugen Concept dilancar di Malaysia

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia mengumumkan bahawa model kenderaan utiliti (SUV) generasi kelima mereka kini hadir dengan Edisi Terhad CR-V Mugen Concept dan telah mula dijual untuk pasaran Malaysia.

CR-V Edisi Terhad itu cuma ditawarkan sebanyak 300 unit sahaja dan hanya boleh didapati dalam dua warna iaitu Passion Red Pearl dan Orchid Pearl.

SUV itu adalah berdasarkan varian 1.5L Turbo 2WD dan dijual masing-masing pada harga RM152,900 untuk warna Passion Red Pearl, manakala untuk warna Orchid Pearl pula dijual pada harga RM153,300 (harga atas jalan tanpa insurans).

Sebelum ini, Honda Malaysia telah dua kali mempamerkan Honda CR-V Mugen Concept itu di Malaysia, iaitu pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS 2018) dan selepas itu pada Malaysia Autoshow 2019.

Begitupun, terdapat sedikit perbezaan antara versi pameran dan yang dijual yang mana mana ketika pameran, SUV terbabit menggunakan rim 19-inci MDR dari Mugen, manakala versi yang dijual pula didatangkan dengan rim 18-inci dari versi standard.

Seperti model konsep berkenaan, bahagian bawah bampar kini juga diberikan warna yang sama seperti badan dan bahagian bawah bampar belakang.

CR-V Mugen Concept.

Di bahagian gril pula terdapat perbezaan termasuk logo (emblem) yang kini diletakkan dengan logo Mugen.

Sementara itu, bahagian kabinnya pula ia masih kekal dengan kemasan warna hitam serta perincian kayu, sama seperti versi standard, manakala spesifikasi lain tiada pengurangan atau penambahan lain.

Bahagian enjin masih kekal dengan 1.5 liter turbo yang menghasilkan 193 PS dan 243Nm tork dengan transmisi CVT ke roda depan.

Untuk aspek keselamatan pula, CR-V ini diberikan enam beg udara, bantuan kestabilan kenderaan (VSA) dan bantuan mula mendaki (HSA), isyarat berhenti kecemasan (ESS), Brek Parkir Elektronik (EPB), Auto Brake Hold (ABH) dan tapak ISOFIX di belakang.

Bersempena dengan pelancaran Edisi Terhad CR-V Mugen, pelanggan yang memandu uji CR-V edisi itu akan berpeluang memenangi hadiah eksklusif bernilai sehingga RM100,000** (tertakluk kepada terma dan syarat).

CR-V Mugen Concept.

INFO:

- Honda CR-V adalah model pertama yang dipasang siap di Malaysia oleh Honda Malaysia pada tahun 2003.

- Sehingga Jun 2019, sebanyak 95,000 unit CR-V generasi kelima sudah dijual di Malaysia.

- Maklumat lanjut, anda boleh melawat mana-mana 98 pengedar Honda di seluruh negara atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020 atau log masuk ke https//www.honda.com.my.

Berita Harian X