Ahad, 4 Ogos 2019 | 8:46pm
Pakar Kejuruteraan Khidmat Pelanggan MICHELIN, Walter Guan (kiri) bersama Pengurus Pemasaran MICHELIN, Duy Pham serta Pengarah Komersial Busines MICHELIN, Muhammad Arya Subrata (tiga dari kiri) pada Majlis Perlancaran MICHELIN Pilot Sport 4 SUV di Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Tayar premium MICHELIN

KUALA LUMPUR: MICHELIN, syarikat tayar global melancarkan MICHELIN Pilot Sport 4 SUV untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) berprestasi tinggi yang ditawarkan pada harga bermula RM700 dan ke atas seunit.

Tayar itu direka dengan ciri jangka hayat yang mampu tahan lama, prestasi brek yang luar biasa, pengendalian yang dinamik dan memberi pengalaman pemanduan yang selesa.

Pengarah Urusan MICHELIN Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei, Pascal Nouvellon, berkata produk terkininya itu melengkapkan rangkaian Pilot Sport dengan padanan teknologi sukan permotoran terkini dan peningkatan kecekapan untuk memberi kepuasan pemanduan tanpa had yang selamat.

“Tayar keluaran ini mempunyai corak bunga yang lebih baik dan bahan sebatian tayar yang baharu untuk cengkaman yang lebih mantap dan prestasi brek yang cemerlang pada jalan basah,” katanya kepada media selepas melancarkan MICHELIN Pilot Sport 4 SUV di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dihasilkan dengan bahan sebatian baharu yang menggabungkan fungsi inovatif elastomer dan silika, MICHELIN Pilot Sport 4 SUV mengungguli ujian pengendalian di permukaan jalan basah yang dijalankan bersama tayar daripada jenama terkemuka yang lain.

Ujian berkenaan menyaksikan tayar berkenaan mencatatkan masa sehingga 5.06 saat lebih pantas untuk melengkapkan trek sepanjang 1,050 meter berbanding pesaingnya.

MICHELIN Pilot Sport 4 SUV juga mendahului dalam ujian brek di permukaan jalan kering dengan catatan jarak sehingga 2.7 meter lebih pendek daripada pesaing, manakala di permukaan jalan basah, kenderaan mampu membrek sehingga 4.9 meter lebih pendek dengan tayar baharu dan sehingga 8.5 meter lebih pendek dengan tayar terpakai.

Kawalan dinamik

Ia hadir dengan reka bentuk alur asimetri baharu yang menguatkan corak bunga dan memberikan cengkaman maksimum semasa mengambil selekoh.

Lilitan tali sawat hibrid yang diperbuat daripada aramid dan nilon juga menjanjikan tindak balas kawalan yang dinamik dan ketepatan pemanduan dengan MICHELIN Pilot Sport 4 SUV.

Menawarkan jangka hayat yang baik sehingga 13,000 kilometer lebih berbanding tayar daripada jenama terkemuka lain, MICHELIN Pilot Sport 4 SUV mengangkat reka bentuk pintar yang menggabungkan blok bunga yang kukuh dan lapisan pelindung berkapasiti tinggi untuk meningkatkan ketahanan terhadap kerosakan.

Ia sekali gus memberi keyakinan dan menjamin keselamatan pemandu semasa di jalan raya.

Nouvellon berkata, MICHELIN Pilot Sport 4 SUV menerima sentuhan reka bentuk yang eksklusif dengan menampilkan 91 peratus kemasan berwarna hitam yang elegan untuk menyerlahkan SUV dengan penampilan gaya sporty.

“MICHELIN Pilot Sport 4 SUV juga dioptimumkan bagi keselesaan penumpang dan meminimumkan bunyi bising untuk memberi pengguna pengalaman pemanduan yang menakjubkan,” katanya.

Tayar MICHELIN Pilot Sport 4 SUV kini boleh didapati di TYREPLUS dan semua pengedar sah Michelin di seluruh negara dalam 39 pilihan saiz untuk rim kenderaan dengan diameter 17 hingga 23 inci.

Pelindung rim juga boleh didapati bagi semua dimensi.

860 dibaca
Berita Harian X