Selasa, 6 Ogos 2019 | 9:13pm

PROTON perkenal versi terkini Saga

KUALA LUMPUR: PROTON melancarkan Saga 2019 yang ditawarkan pada harga antara RM32,800 hingga RM39,800 seunit.

Versi terbaharu model ikonik dan terlaris PROTON itu dilengkapi dengan gaya baharu, kotak gear automatik empat kelajuan dan ciri pintar pertama di dalam kelasnya yang bukan saja membezakannya daripada pesaing, tetapi turut meningkatkan nilainya.

Ditawarkan dengan tiga varian iaitu Saga Standard MT, Standard AT dan Premium AT, ia masing-masing ditawarkan pada harga bermula RM32,800; RM35,800 dan RM39,800.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata syarikat mengenal pasti cadangan penjualan unik (USP), yang apabila digabungkan menghasilkan slogan Pilihan Yang Pintar atau ‘An Intelligent Proposition’.

“Tiga USP ini adalah Gaya Mengujakan, Penjimatan Bijak dan Kestabilan Mantap,” katanya kepada media pada majlis pelancaran Saga 2019 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking; Pengerusi DRB-HICOM Bhd, Datuk Mohammad Zainal Shaari; Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Radzaif Mohamed.

Saga 2019 diberikan rekaan terkini, namun masih mengekalkan identitinya dan pada masa yang sama meletakkannya ke barisan model Proton yang lain.

Pada bahagian luar, Saga 2019 dipasangkan dengan bampar hadapan baharu dan lebih agresif bersepadu dengan lampu nyalaan siang dengan bahagian gril turut mempunyai corak ‘infinite weave’ yang mula diperkenalkan melalui model Proton X70 serta Iriz dan Persona 2019.

Bampar belakang yang sama menonjol sepadan dengan bahagian hadapan dan rekaan di belakang dilengkapi dengan spoiler belakang bersepadu baharu dan nama PROTON terletak pada bahagian penutup but.

Satu set roda aloi bersaiz 15 inci yang menampilkan rekaan baharu menyerikan lagi sentuhan akhir pada varian premium.

Menjengah ke bahagian dalaman pula, perubahan paling ketara dilakukan adalah pada skrin sesentuh tujuh-inci terapung yang digunakan untuk mengawal sistem infotainmen, selain kemudahan ini mempunyai sambungan Bluetooth, kapasiti penyimpanan dalaman 16GB dan sambungan telefon pintar untuk Android.


MAJLIS pelancaran Saga 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

MAJLIS pelancaran Saga 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Perubahan lain termasuklah upholsteri tempat duduk baharu, panel tengah baharu, paparan kombinasi meter baharu dengan Bantuan Pemanduan Eco dan turut dilengkapi sehingga tiga port USB.

Kemudahan lain yang turut disediakan dalam Saga 2019 termasuk kunci pembuka but, pelindung matahari dengan pemegang kad dan cermin, lampu peta LED dan pemegang genggaman baharu untuk disepadankan dengan bahan yang digunakan di bahagian dalaman kereta.

Secara mekanikal, perubahan yang paling besar adalah transmisi automatik empat kelajuan baharu menggantikan CVT yang digunakan sebelum ini.

Barisan jurutera PROTON turut membuat peningkatan pada prestasi brek, tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH) serta keseimbangan pemanduan dan pengendalian disamping menambah tahap keselamatan yang berkelas dunia.

Sebagai contoh, brek yang dilengkapkan pada model ini adalah sama seperti yang dipasangkan pada Proton Iriz dan Persona yang lebih besar manakala penggunaan kotak gear automatik empat kelajuan baharu memberikan pemandu kawalan manual yang lebih baik semasa memandu dengan penuh tenaga.

Ciri keselamatan pada model ini terdiri daripada Brek Anti Kekunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) untuk ketiga-tiga varian yang turut dilengkapi dengan beg udara depan, sensor tempat letak kereta belakang dan titik penahan ISOFIX dengan top tethers.

Tambahan pada varian Premium adalah Bantuan Kawalan Cerun, sensor tempat letak kereta hadapan, kamera undur dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Dengan pertambahan ciri keselamatan itu, Saga 2019 menjadi satu-satunya kereta yang berharga kurang daripada RM40,000 dilengkapi ESC dan TCS.

PROTON truut menawarkan pakej Nilai Tambahan untuk model Saga baharu itu sama seperti Proton X70, Iriz, Persona dan Exora 2019.

Terdapat tiga pakej Nilai Tambahan standard yang bermula dengan pakej servis yang menawarkan kos pekerja percuma sebanyak tiga kali atau selama satu tahun.

Seterusnya adalah pakej kadar faedah dengan kadar pembiayaan serendah 2.98 peratus setahun dan pakej insurans yang menawarkan pelbagai manfaat kepada pelanggan yang menginsuranskan pembelian baharu mereka dengan panel PROTON.

Pakej Nilai Tambahan itu apabila digabungkan menyaksikan Saga 2019 Premium AT 1.3L memberi penjimatan sebanyak RM3,747 berbanding model sebelum ini, manakala varian Standard AT 1.3L jimat RM2,043, dan Standard MT 1.3L jimat RM2,291.


MAJLIS pelancaran Saga 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria


MAJLIS pelancaran Saga 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

10650 dibaca
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking (lima dari kanan) hadir pada majlis pelancaran Saga 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X