Khamis, 15 Ogos 2019 | 5:30pm
KETUA Pegawai Eksekutif, McLaren Kuala Lumpur, Roland Chan (kiri) bersama Ketua Asia Pacific, McLaren Automotive, Rob Pritchard melancarkan model terbaru McLaren 720S Spider di KLGCC Galery, Bukit Kiara. - Foto Khairul Azhar Ahmad

McLaren 720S Spider kini di Malaysia

KUALA LUMPUR: McLaren Kuala Lumpur, pengedar sah kenderaan Mclaren di Malaysia menyasarkan menjual 30 unit kenderaan jenama itu di Malaysia pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif McLaren Kuala Lumpur, Roland Chan, berkata permintaan terhadap jenama kenderaan itu agak memberangsangkan berdasarkan kepada jualan sejak April 2018 hingga Ogos 2019, pihaknya sudah menjual sebanyak 45 unit kenderaan jenama McLaren.

“McLaren Kuala Lumpur mula beroperasi sejak April tahun lalu dan sehingga kini jualan unit mencatatkan peningkatan positif.

“Kami yakin dengan pengenalan beberapa model baharu, jualan kenderaan jenama ini di pasaran tempatan akan terus dipertingkatkan,” katanya selepas merasmikan model terbaru McLaren di Malaysia, 720S Spider, di sini, hari ini.

Chan berkata, 720S Spider adalah model baharu dalam keluarga model 720S selepas pengenalan model 720S Couple.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan menjual sebanyak tiga unit model itu pada tahun ini dan dan dijangka meningkat pada tahun hadapan.

Secara keseluruhan bagi model keluarga 720S pula katanya, ia dijangka dapat dijual sebanyak 15 unit pada 2020.

Ketika ditanya mengenai jangkaan industri automotif tempatan secara keseluruhannya pada tahun ini dan 2020, Chan berkata, industri itu berhadapan dengan situasi yang mencabar disebabkan perang perdagangan.

“Ekonomi dunia menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan disebabkan perang perdagangan, dan ia menjejaskan semua industri termasuk automotif.

“Namun sebagai sebuah syarikat dan jenama terkemuka dunia, kita perlu memikirkan cara dan jalan terbaik bagi mengatasi perkara itu.

“Malah melalui pelan perniagaan McLaren yang dikenali sebagai Track25, sebanyak 1.2 bilion pound pelaburan dijalankan bagi penyelidikan dan pembangunan penghasilan sebanyak 18 model baharu sehingga 2025.

“Melalui rekod dan jangkaan itu, McLaren Kuala Lumpur yakin mampu mencapai prestasi kukuh dalam pasaran automotif,” katanya.

720S Spider adalah versi convertible bagi 720S coupe yang diperkenalkan pada Mac lalu dijana oleh enjin 4.0 liter V8 twin-turbo M840T dan mampu memberi kuasa sehingga 720 PS dan tork 770 Nm.

Ia dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan SSG yang menyalurkan kuasanya ke roda belakang, sama seperti versi coupe.

720S Spider yang pernah dinobatkan sebagai 2019 World Performance Car of the Year mempunyai berat secara keseluruhan mencecah 1,332 kilogram (kg) iaitu 49 kg lebih berat berbanding versi coupe.

720S Spider ini ditawarkan untuk pasaran Malaysia pada harga bermula RM1,218,000 (tanpa cukai dan pilihan lain).

439 dibaca
Berita Harian X