Selasa, 3 September 2019 | 7:06pm

PROTON terus catat jumlah jualan tinggi pada Ogos

SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus mencatat angka tinggi jualan pada Ogos lalu dengan jumlah 9,127 unit, peningkatan sebanyak 17.6 peratus.

Ia membolehkan syarikat kereta nasional pertama itu menguasai 15.3 peratus daripada keseluruhan pasaran kenderaan di negara ini.

PROTON dalam kenyataannya berkata, pada asas tahunan pertumbuhan jualan kini adalah pada kadar 36 peratus, yang mana diraih dalam pada penurunan jualan keseluruhan industri sebanyak 5.8 peratus berbanding 2018.

“PROTON satu-satunya antara lima jenama terkemuka mencatatkan jumlah pertumbuhan dua angka. Ia adalah kadar pertumbuhan terbaik berbanding lima jenama automotif di Malaysia.

“Syarikat kini berada dalam kedudukan yang betul untuk mengatasi sasaran keseluruhan jualannya pada 2018 iaitu sebanyak 64,744 unit,” kata kenyataan itu.

Jumlah jualan PROTON pada akhir Ogos adalah sebanyak 61,396 unit dan ia menjangka, momentum pertumbuhan jualan sebegitu akan kekal sehingga hujung tahun ini.

“Syarikat bakal mengatasi jumlah jualan tahun 2018 pada sebelum akhir bulan September.

"PROTON sangat berterima kasih atas penerimaan pelanggan terhadap pelbagai penawaran yang diberikan,” katanya.

Ketua Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata melalui inisiatif seperti pembukaan lebih banyak cawangan 3S/4S serta penambahbaikan khidmat pelanggan dan kualiti produk, pihaknya yakin akan dapat mengakhiri 2019 dengan kedudukan yang kukuh.

Katanya, tempahan Proton Saga 2019, yang dilancarkan pada Ogos lalu sudah melebihi 10,000 unit, yang lebih 1,000 daripadanya adalah tempahan secara dalam talian.

“Pelanggan boleh menempah model berkenaan hanya dengan RM9.99. Oleh kerana model ini mendapat penerimaan luar biasa, syarikat melanjutkan tempoh tempahan dalam talian sehingga 17 September.

“Angka itu telah melebihi jumlah kami terima untuk Proton X70, justeru kami melanjutkan tempoh tempahan dalam talian untuk memberi peluang kepada pelanggan menggunakan platform yang disediakan," tambah beliau.

1297 dibaca
Berita Harian X