Selasa, 10 September 2019 | 5:40pm
Model baharu Volkswagen, ID.3. dipamer di Pameran Antarabangsa Motor IAA Frankfurt, Jerman semalam. - Foto REUTERS

VW lancarkan saingan baharu kereta elektrik

FRANKFURT: Pengeluar kenderaan dari Jerman, Volkswagen (VW) optimis model kenderaan baharunya mampu memberikan pulangan bernilai puluhan bilion euro dalam pameran Frankfurt IAA.

Model baharu, yang dikenali sebagai ID.3, adalah tindak balas profil tertinggi dari Jerman untuk batasan pelepasan karbon baru Eropah dan sebagai persaingan bertenaga bateri dari AS dan China.

ID.3 telah diumumkan kepada media pada Isnin, dengan Ketua Eksekutif VW, Herbert Diess mengatakan ia adalah kereta untuk era baharu.

Dengan kehadiran ID.3 dan rangkaian model lain, VW dapat mengatasi kekurangan dalam kenderaan elektrik, kata pakar industri Stefan Bratzel.

“Ia harus berjaya,” katanya.

Ketua Jenama Volkswagen, Ralf Brandstaetter, berkata kumpulan telah menjalankan pelaburan yang tinggi untuk menggilap imejnya sebagai lebih muda, dinamik dan moden.


Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen AG Herbert Diess memperkenalkan kereta elektrik VW yang baharu dikenali sebagai ID.3, di Frankfurt, Jerman. - Foto EPA

"Kami mahu mendapatkan kembali pengiktirafan masyarakat," katanya ketika kumpulan itu berusaha untuk melepaskan skandal masa lalunya.

Empat tahun lalu, VW berdepan dengan kecaman industri automotif apabila ia mengaku memasang perisian untuk menipu ujian pelepasan pengawalseliaan di 11 juta kenderaan di seluruh dunia.

Ia adalah kegagalan industri terbesar dalam sejarah Jerman selepas perang.

Model ID.3 adalah kenderaan berdasarkan platform kuasa bateri yang dikenali sebagai MEB.

Bermula 2020, armada pengeluar menghasilkan purata kurang daripada 95 gram karbon dioksida (CO2) setiap kilometer.

Sementara itu, Ketua Center Automotive Research (CAR), Ferdinand Dudenhoeffer, berkata ketika ini kereta elektrik lebih mahal untuk dibina, kerana bilangannya belum cukup besar untuk mencapai skala ekonomi.

“Dalam jangka sederhana, tidak ada pelaburan untuk dibuat dalam kereta elektrik,” katanya.

Menjelang tahun 2023 hingga 2024, kapasiti pengeluaran bateri akan tersedia di Eropah dan harga akan jatuh, katanya.

VW berhasrat untuk memperbesar secepat mungkin dengan bersetuju untuk melesenkan teknologi MEBnya kepada Ford, satu elemen perkongsian yang juga termasuk fokus pada pemanduan autonomi. - AFP

418 dibaca
Berita Harian X