Ahad, 15 September 2019 | 6:13pm
Bermaz Auto Bhd mencatat

Bermaz Auto catat keuntungan bersih dan hasil lebih tinggi pada suku pertama

KUALA LUMPUR: Bermaz Auto Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM50.52 juta pada suku pertama berakhir 31 Julai 2019 berbanding RM50.28 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil meningkat kepada RM535 juta daripada RM485 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan jumlah jualan dan campuran jualan yang lebih baik daripada operasi domestik.

Dalam satu kenyataan, Bermaz Auto berkata peningkatan dalam jumlah jualan domestik sebahagian besarnya didorong oleh promosi berterusan kumpulan untuk membersihkan inventori Mazda CX-5 sedia ada sebagai persediaan untuk model berwajah baharu yang akan dilancarkan pada September.

Bagaimanapun, sumbangan hasil dari operasi Filipina lebih rendah kerana jualannya terus dipengaruhi oleh kenaikan kos kenderaan dan persaingan sengit berikutan pelaksanaan Undang-Undang Pembaharuan bagi Percukaian dan Kemasukan (TRAIN) pada Januari 2018.

Kumpulan itu berkata, ia optimis bahawa pelancaran semua model Mazda CX-8 dan Mazda CX-30 yang baharu dan model Mazda CX-5 berwajah baharu dan kekal popular, termasuk varian Turbo 2.5L di Malaysia, pada separuh kedua tahun kalendar 2019 boleh mengatasi beberapa cabaran.

Di Filipina, Bermaz Auto Philippines Inc seang berusaha untuk meningkatkan hasil dan keuntungannya dengan mengukuhkan lagi ekuiti jenamanya selaras dengan sokongan berterusan daripada para peniaga dan model baharu dan berwajah baharu yang akan dilancarkan. - BERNAMA

Berita Harian X