Ahad, 15 September 2019 | 7:47pm
PASUKAN PROTON R3 (R3)

Pencarian pelumba wanita PROTON R3

KUALA LUMPUR: Pasukan PROTON R3 (R3) di bawah bahagian perlumbaan PROTON giat mencari pelumba wanita serta program mentor untuk pasukan perlumbaan yang akan bersaing di dalam siri Malaysia Speed Festival (MSF).

Program mendapat kerjasama MSF yang menjadi acara sukan permotoran terbesar di Malaysia bermatlamat untuk membangunkan sukan permotoran di peringkat akar umbi dengan memanfaatkan kelebihan pengalaman dari pasukan R3.

R3 kini berharap agar dapat berkongsi pengalamannya melalui Pencarian Pelumba Wanita MSF-R3 serta Program Mentor MSF-R3 dengan tujuan adalah untuk membolehkan pemandu dan pasukan perlumbaan Malaysia mendapat akses kepada pelbagai maklumat, pengurusan pasukan dan teknik pembangunan kereta yang akan membantu meningkatkan prestasi mereka dan seterusnya membawa mereka agar lebih cemerlang di peringkat kebangsaan.

Ini juga menjadi peluang untuk mencari pelumba wanita yang berbakat dan mengembangkan karier mereka dengan membuka ruang kepada mereka masuk di bidang yang didominasikan oleh lelaki.

PROTON dan R3 ingin mengubah naratif berkenaan dan memberi pemandu wanita peluang untuk menyerlah di dalam sukan permotoran dan dengan itu tercetusnya idea Pencarian Pelumba Wanita MSF-R3.

Bagi program mentor pula, pemandu dan pasukan terpilih yang bersaing di dalam perlumbaan MSF SuperTurismo menggunakan kereta Proton akan dibantu oleh kakitangan Pasukan PROTON R3 untuk tiga lagi acara perlumbaan tahun ini.

Berita Harian X