Ahad, 15 September 2019 | 8:07pm
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter ketika melancarkan Das WeltAuto di Setia Alam, Shah Alam. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

VPCM lancar Das WeltAuto

SHAH ALAM: Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan Das WeltAuto, program kenderaan terpakai global Volkswagen yang ditawarkan kepada pelanggan di Malaysia.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter, berkata menerusi program itu semua model dan jenama diterima untuk tujuan tukar beli (trade-in), malah pelanggan tidak perlu bimbang kerana semua kenderaan yang disahkan oleh Das WeltAuto sudah pun melalui 133 mata pemeriksaan yang ketat dan menyeluruh.


Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

“Pelanggan Volkswagen boleh mendapatkan kereta terpakai yang boleh mereka percayai kerana setiap model menjalani pemeriksaan itu dijalankan oleh dan disahkan oleh Juruteknik Kanan Volkswagen,” katanya ketika melancarkan Das WeltAuto sempena Volkswagen Fest 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, baru-baru ini.

Das WeltAuto yang memenangi anugerah itu disokong oleh pengetahuan, standard, proses, penyelesaian dan jaminan global oleh Volkswagen Group.

Walaupun membeli kereta terpakai, Winter berkata, pelanggan kenderaan Das WeltAuto bakal menikmati lanjutan jaminan dan bantuan tepi jalan selama setahun.

Katanya, sebagai tambahan, pelanggan boleh menikmati manfaat Volkswagen Care Plus untuk kenderaan Volkswagen yang berusia lima tahun dan ke atas.

”Das WeltAuto adalah satu penyelesaian mudah buat mereka yang berminat untuk menukar dan membeli kereta terpakai,” katanya.

Perkhidmatan terbaik

Apa yang membuatkan Das WeltAuto berbeza dengan saluran jualan kereta terpakai ialah anda boleh mengharapkan tahap perkhidmatan terbaik sama seperti pengalaman membeli sebuah kereta baharu di pengedar yang anda yakini. Kakitangan berpengalaman akan memberikan khidmat nasihat terbaik dan telus.

Semua ini ditawarkan oleh jenama yang boleh anda harapkan dan lebih penting lagi, produk yang boleh anda percayai.

Sebagai sebahagian daripada janji Das WeltAuto, hanya alat ganti tulen akan digunakan pada kereta terpakai yang dijual kepada pelanggan, selain ia tidak pernah terlibat dalam kemalangan serta didatangkan lengkap dengan bukti penyelenggaraan di pusat servis sah Volkswagen.

Ketika ini, Das WeltAuto ditawarkan oleh empat pengedar Iaitu Volkswagen Puchong, Volkswagen Gombak, Volkswagen Alor Setar dan Volkswagen Juru.

Berita Harian X