Ahad, 15 September 2019 | 8:49pm
KAWASAKI Ninja 400. NSTP/Khairul Azhar Ahmad.

Ninja 400 SE ringan, lincah

KUALA LUMPUR: ‘Upgrade’, antara istilah paling sinonim dalam dunia permotoran sehingga ia dijadikan bahan coretan dan bualan.

Malah, topik ini turut digunakan sebagai pengukur untuk mentakrifkan sejauh mana kehebatan seseorang penunggang menjinakkan setiap jentera yang pernah dimilikinya sebelum ini.

Penulis mula berjinak menyandang gelaran ‘kaki motor’ sejak di bangku sekolah apabila sering ‘merembat’ Honda EX5 milik bapa untuk ke kedai, padang bola, surau dan bersiar-siar bersama rakan seusia.


KAWASAKI Ninja 400. NSTP/Khairul Azhar Ahmad.


KAWASAKI Ninja 400. NSTP/Khairul Azhar Ahmad.


KAWASAKI Ninja 400. NSTP/Khairul Azhar Ahmad.

Dipendekkan cerita, ‘upgrade’ sulung penulis adalah daripada Yamaha Lagenda 100cc kepada jentera Kawasaki ZX6R yang sudah sekian lama menjadi pujaan hati, selain ia antara pendorong utama untuk menghabiskan pengajian di menara gading.

Betul! Perbezaan ketara terhadap sesaran enjin sedemikian lazimnya akan mendapat maklum balas kurang enak daripada ‘otai’, namun penulis berpeluang menimba pengalaman untuk menjinakkan jentera 250cc, sekali lagi milik bapa tersayang yang secara kebetulan mempunyai minat sama dalam dunia permotoran.

Ubah selera

Mesejnya, sorotan kehidupan seorang penggemar jentera berkuasa tinggi selalunya bermula dengan ‘kapchai’, sebelum menyunting jentera dengan sesaran enjin lebih besar, namun perbezaan kadarnya bukan terlalu jauh bagi memastikan penunggang berupaya menimba pengalaman mencukupi dan mendidik diri supaya tidak terlalu ghairah memulas pendikit.

Cuma satu masalah dalam meniti perjalanan kehidupan sebagai seorang ‘biker’ ialah mereka sering ‘diracuni’ rakan lain yang memecut laju ketika bersama dalam konvoi, meninggalkan kita jauh ke belakang sampai timbul bibit keinginan ‘upgrade’ ke jentera dengan sesaran enjin lebih besar.

Faktor lain yang menjadi pengaruh pertimbangan untuk mengubah ‘selera’ kepada enjin lebih besar ialah seorang penunggang terlalu cepat membiasakan diri dalam menjinakkan jentera miliknya.

Menyedari hakikat ini, Kawasaki pada tahun lalu mengorak langkah menghasilkan Ninja 400 SE sebagai edisi sport baharu yang menyaksikan peningkatan keupayaan enjin hampir 35 peratus jika dibandingkan dengan Ninja 300.

Selalunya sebarang peningkatan keupayaan enjin akan diakhiri dengan penambahan berat kering jentera, namun kekangan ini berupaya diatasi Kawasaki hasil ledakan kemajuan unit penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Lebih santai

Ninja 400 SE yang mempunyai reka bentuk mirip H2 pada bahagian depan, lengkap dengan lampu LED dan ciri futuristik serta tunggangan ergonomik ini sangat ‘berbisa’ di jalanan kerana ia bukan sekadar lebih ringan hampir sembilan kilogram, malah mempunyai kuasa pecutan luar biasa.

Berdasarkan pengalaman menunggang jentera 250cc, edisi terbaharu Ninja 400 SE dengan keupayaan enjin kira-kira 45 kuasa kuda ini lebih santai pada kelajuan ‘cruising’ dan tidak mengaum, selain mampu menawan selekoh pendek tanpa perlu gusar mengenai risiko ‘high side’.

Dilengkapi sistem klac gelincir berbantu, pertukaran gear adalah sangat mudah dan bersahaja, sekali gus memudahkan aspek tunggangan dan menjamin keselamatan ketika menyusuri selekoh tajam pada kelajuan tinggi.

Kuasa sebenar jentera ini mula terserlah tatkala jarum RPM melepasi angka 8,000 dan ia terus mengejutkan penulis apabila pecutan sebelum rapat ke tolok RPM 15,000 langsung tidak mempunyai sekatan atau ‘cut off’.

Meskipun teras tunggangan direka bentuk bercirikan ‘sport’ supaya tampil lebih agresif, aspek ergonomik keseluruhan jentera ini yang menyaksikan aras bar kawalan pemegang ditinggikan dan kedudukan penahan kaki lebih ke hadapan ternyata memberikan keselesaan kepada penulis.

Harga mampu milik

Rekaan ergonomik seperti ini adalah antara ciri utama yang dijadikan pertimbangan dalam kalangan penunggang berusia, tetapi jiwanya masih menginginkan deruan pecutan enjin berkuasa tinggi dan seksi ketika menyusuri laluan di sekitar ibu kota.

Bersandarkan harga asas RM20,401, percaturan menghasilkan Ninja 400 SE ternyata satu paluan perang dalam menandingi kategori jentera keluaran lain seperti Honda, KTM dan Yamaha yang setakat ini nampaknya belum mampu ‘menundukkan’ Kawasaki.

Persaingan sihat seperti ini sudah pasti menguntungkan pengguna yang sering dahagakan jentera berkuasa tinggi idaman hati, namun dijual pada harga mampu milik dan sarat dengan teknologi terkini seiring kemajuan dalam dunia permotoran.

Cuma satu persoalan masih bermain di benak pemikiran penulis, iaitu mengenai edisi Ninja 250 tetapi memuatkan enjin empat silinder sebaris yang dikhabarkan sebelum ini bakal membuat kemunculan selepas rekaan sedemikian kali terakhir dihasilkan pada 1988.

Kelahiran semula Ninja ZXR-250 yang deruman enjinnya tidak dinafikan menusuk kalbu, namun tampil menerusi rekaan terbaharu dan dimuatkan dengan teknologi terkini sudah pasti sekali lagi bakal membuatkan pencinta jentera berkuasa tinggi gigit jari, manakala pesaing lain gundah gulana.

Info:

Spesifikasi Kawasaki Ninja 400 SE

Enjin: 2 silinder sebaris 399cc; 8 injap; sejukan cecair

Kuasa maksimum: 33.4 kW @ 10,000 rpm

Tork maksimum: 38 Nm @ 8,000 rpm

Kotak gear: 6 kelajuan

Kapasiti tangki: 14 liter

Ketinggian pelana: 785 mm

Berat: 168 kg

Klac: Basah

Suspensi hadapan: 41 mm teleskopik, boleh laras 5 peringkat

Suspensi belakang: Boleh laras Brek hadapan: cakera 310 mm

Brek belakang: cakera petal tunggal 220 mm

Tayar hadapan: 110/70R17 M/C 54H

Tayar belakang: 150/60R17 M/C 66H

Berita Harian X