Isnin, 7 Oktober 2019 | 6:50pm
HONDA X-ADV sememangnya mencetus kelainan dan agak sukar untuk dihuraikan kategori motosikal dengan rupa bentuk futuristik ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Rentas gaya cetus kelainan

KUALA LUMPUR: Honda X-ADV sememangnya mencetus kelainan dan agak sukar untuk dihuraikan kategori motosikal dengan rupa bentuk futuristik ini.

Mungkin ia dalam kategori skuter dengan transmisi automatik dengan brek depan dan belakang dikendalikan dengan tangan, tanpa fungsi penting pada kaki penunggang selain menegakkan dan menongkat motosikal.

Namun jika diteliti, skuter lazimnya menggunakan kotak gear transmisi boleh laras berterusan (CVT) dengan roda belakang dipacu oleh sistem ‘belting’, tetapi X-ADV menggunakan transmisi klac berkembar (DCT) 6-kelajuan dengan roda belakang dipacu rantai seperti motosikal biasa.


HONDA X-ADV XADX . NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.

DCT adalah adalah teknologi terkini yang membolehkan penunggang memilih penukaran gear secara automatik atau manual pada butang dan suis yang dikendalikan dengan jari.

Lantaran itu, boleh dikatakan X-ADV ini adalah mesin merentas gaya atau ‘crossover’ dengan keupayaan melangkaui had menerobos laluan lasak, sekali gus menjadikan semua jenis jalan adalah laluan anda.

Amat Praktikal

Paling menarik, ia amat praktikal jika dimiliki, boleh ditunggang dengan tangkas dan selesa untuk kegunaan harian melungsuri kepadatan trafik bandaraya, misalnya ke tempat kerja, serta juga untuk kegunaan santai mengembara jarak jauh di hujung minggu.

Tidak hanya itu, ia juga menawarkan gabungan gaya serta komponen tunggangan berteknologi tinggi yang sofistikated dan ‘rugged’ dari bahagian hadapan motosikal ini hingga ke belakang - justeru Honda X-ADV ada kelas tersendiri.

BH Auto berpeluang menunggang uji X-ADV, ‘skuter pengembaraan dua alam’ sumbangan Boon Siew Honda baru-baru ini.

Dari segi penampilan model unik yang dibangunkan pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Honda yang berpangkalan di Itali, sememangnya menyajikan reka bentuk masa hadapan ala ‘Transformers’.

Ia didatangkan dengan lampu hadapan LED nipis, cermin pelindung angin boleh laras, pelindung tangan, tempat perehat kaki penunggang lebar serta ekzos tunggal, rekaan ‘fairing’ bersegi, perehat kaki pembonceng tersisip kemas selain tempat duduk besar serta selesa untuk tunggangan jarak.

Komponen Terkini

Panel meter LCD digital juga padat dengan paparan maklumat serta pelbagai fungsi seperti jarak perjalanan, odometer, trip, tahap gear, suhu dan lain-lain.

Juga berlainan dengan skuter konvensional, X-ADV menggunakan roda lasak jejari, bersaiz 120/70R/17M/C hadapan dan 160/60R/15M/C belakang serta suspensi hadapan fork USD 41 milimeter (mm) jenis Cartridge dengan spring pra-beban boleh dilaras.

Ruang simpanan barangan di bawah tempat duduk berkapasiti 21 liter, boleh memuatkan topi keledar serta terdapat soket pengecaj 12 voltan dan diterangi lampu LED.


HONDA X -ADV 750. NSTP/Roslin Mat Tahir.

Dari segi enjinnya, X-ADV dilengkapi enjin 750cc sejukan cecair silinder berkembar empat lejang, penjanaan kuasa sehingga 55 PS pada 6,250 rpm dan tork 68Nm pada 4,750 rpm.

Kuasa yang dikeluarkan X-ADV sangat lancar dengan penjanaan tenaga amat lancar setiap kali pendikit dipulas. Halaju selesa adalah antara 120-150 kmh dan tahap maksimumnya adalah 185-190 kmh.

Selesa pada kelajuan tinggi

Tunggangan amat selesa walaupun dalam jarak jauh dan tidak terbeban dengan tamparan angin pada kelajuan tinggi susulan posisi menunggang yang menegak dan skrin penghadang angin boleh laras yang berfungsi dengan baik.

Tangki petrol pula memuatkan sehingga 13.1 liter untuk perjalanan sejauh 230 kilometer, agak menjimatkan.

X-ADV juga amat stabil ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi dan dilengkapi kuasa henti yang menyakinkan dengan sistem brek antikunci (ABS) dua saluran hidraulik cakera berkembar di hadapan dan cakera tunggal di roda belakang.

Ditawarkan dengan harga RM63,229 hingga RM65,499 dengan dua tahun jaminan atau 20,000 km, X-ADV adalah antara model yang wajar dipertimbangkan jika anda mencari motosikal yang praktikal untuk kegunaan harian dan santai hujung minggu.

HONDA X-ADV

• ENJIN: 750 cc sejukan cecair silinder berkembar

• KUASA MAKSIMUM: 55 PS pada 6,250 rpm

• TORK MAKSIMUM: 68Nm pada 4,750 rpm

• TRANSMISI: 6 kelajuan DCT

• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 13.1 liter

• CIRI KESELAMATAN: Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) hadapan dan belakang.

• HARGA ATAS JALAN: RM63,229 (Matte Bullet Silver dan Matte Moonstone Silver Metallic) dan RM65,499 (Grand Prix Red ) (atas jalan tanpa insurans)

Berita Harian X