Isnin, 7 Oktober 2019 | 9:03pm
Ditawarkan pada harga bermula RM348,888. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Mercedes-AMG A 35 4Matic Sedan ternyata berkuasa

KUALA LUMPUR: Mercedes-AMG A 35 4Matic Sedan diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan, namun kuasa yang ditawarkan lebih tinggi iaitu 306 kuasa kuda (hp) pada 5,800 rpm.

Meskipun sedan ini masih mengekalkan unit enjin M260 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol, namun prestasinya lebih baik dengan tork puncak 400 Nm dari 3,000 hingga 4,000 rpm.

Rangkaian kuasanya dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift 7G tujuh kelajuan dengan nisbah gearnya ditala untuk memberikan pecutan lebih pantas pada semua kedudukan gear.

Kuasanya disalurkan ke sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic, yang mampu menghantar 50 peratus tork ke roda belakang melalui klac multi-plat elektro-mekanikal.

Dengan fungsi Race Start, A 35 Sedan boleh memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.8 saat.

Model import sepenuhnya (CBU) dari Jerman itu dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insurans RM348,888 selain didatangkan dengan jaminan empat tahun tanpa had perbatuan.

Lengkap pakej AMG

A 35 Sedan ini datang lengkap dengan pakej penggayaan AMG Line, lengkap dengan bukaan udara di depan yang agresif dan skriting sisi yang garang.

Wajah depannya juga berbeza dari versi biasa, seperti yang dapat dilihat pada rekaan gril dan kemasan hitam berkilat yang digunakan pada bucu bampar, manakala belakang pula tampil dengan spoiler kecil pada pintu but serta bahagian diffuser yang berbeza yang menempatkan paip ekzos.

Ia menggunakan suspensi jenis MacPherson strut di depan dengan geometri gandar yang unik serta lengan kawalan aluminium ringan.

Di belakang pula menggunakan talaan multi-link empat bahagian yang menggunakan komponen dari A 45 sebelum ini.

Ruang dalaman masih sama seperti yang pernah dilihat pada A-Class. Ini termasuk panel paparan skrin rata, sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan kawalan suara “Hey Mercedes”.

A35 Sedan juga memiliki kelebihan dari segi ruang dengan kapasiti 420 liter.

Turut ditawarkan sebagai pilihan ialah sistem telemetrik AMG Track Pace, yang boleh merakam lebih 80 data khusus kenderaan seperti kelajuan dan pecutan, serta masa untuk pusingan dalam litar.

Berita Harian X