Selasa, 29 Oktober 2019 | 4:52pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad melawat kemudahan yang terdapat di IQM Sdn Bhd di Industrial Quality Management Sdn Bhd (IQM), Tanjung Malim. NSTP/Eizairi Shamsudin

PERODUA labur RM7 juta sepadukan pengeluaran alat ganti

TANJUNG MALIM: Perusahaan Automobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) melabur RM7 juta bagi mesin 'press stamping' baharu di premis pembekalnya, Industrial Quality Management Sdn Bhd (IQM) di Tanjung Malim.

Ia bagi memusatkan pengeluaran alat ganti untuk model-model terdahulu PERODUA.

Pelaburan dalam mesin terbaharu itu adalah antara inisiatif PERODUA bersama-sama pembekalnya bagi mengembangkan perniagaan dan keupayaan ke arah menjadi pembekal automotif bertaraf dunia.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata pelaburan itu adalah termasuk pengangkutan dan pemasangannya di IQM.

Beliau berkata, mesin ‘stamping’ hidraulik 1,600 tan itu akan menghasilkan komponen badan kenderaan seperti penutup enjin, panel luar sisi, panel suku belakang, fender, pintu dan bumbung untuk model Perodua terdahulu seperti Myvi generasi pertama, Viva, Kelisa dan juga Kancil.

PERODUA juga, katanya, memindahkan semua acuan ‘stamping’ yang diperlukan untuk menghasilkan alat ganti model terdahulu ke IQM.

“Ini membebaskan ruang di kilang PERODUA, meringkaskan proses keseluruhan, menjimatkan kos dan masa, serta memudahkan pemantauan dan pengurusan di bawah satu bumbung," katanya pada majlis pelancaran mesin terbaharu itu di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan IQM, Mohd Fitri Md Aris.

Zainal Abidin berkata, PERODUA juga berkongsi kemahiran dan pengetahuan dengan IQM berkaitan pengeluaran alat ganti model terdahulu.

Beliau berkata, PERODUA membuat keputusan untuk memusatkan pengeluaran alat ganti model terdahulu di IQM berdasarkan empat teras.

“Pertama, kami ingin terus menyokong pemilik model-model terdahulu dengan alat ganti berkualiti, pantas dan berpatutan menerusi perniagaan Badan & Cat.

“Kedua, kami komited untuk membangunkan semua 135 pembekal kami di Malaysia, bukan sahaja melalui perniagaan dengan mereka tetapi menerusi perkongsian kemahiran dan teknologi. Ketiga, langkah ini mewakili komitmen kami kepada negara dan ekonominya dengan peningkatan daya saing ekosistem automotif Malaysia.

“Akhirnya, ia mewakili komitmen PERODUA untuk terus meningkatkan kualiti dan kecekapannya ke arah menjadi syarikat yang Iebih baik, maju dan mampan,” katanya.

Sejak 1994, PERODUA menjual lebih 3.7 juta kenderaan di Malaysia.

Kini, kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan permintaan untuk alat ganti PERODUA adalah untuk model-model terdahulu.

Zainal Abidin berkata, dengan kandungan tempatan melebihi 90 peratus bagi seluruh barisan modelnya, PERODUA adalah pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia, membelanjakan RM4.5 biiion setakat tahun ini daripada RM5.4 bilion yang diperuntukkan untuk keseluruhan 2019.

PERODUA juga mengunjurkan perbelanjaan lebih RM6 bilion bagi membeli komponen automotif daripada vendor tempatan tahun depan.

Berita Harian X