Jumaat, 1 November 2019 | 9:30pm
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

Jualan PROTON hampir cecah 80,000 unit

KUALA LUMPUR: PROTON terus mencatatkan prestasi kukuh dengan meraih jualan sebanyak 79,833 unit bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, meningkat 46 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi jualan Oktober, jenama kereta nasional itu mencatatkan jualan sebanyak 9,503 unit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong, berkata PROTON terus menunjukkan lonjakan jualannya walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) menurun sebanyak 1.3 peratus.

Katanya, pegangan pasaran pula dianggarkan pada 16 peratus, menyaksikan kenaikan positif sebanyak 5.2 peratus berbanding tahun lalu.

"PROTON terharu dengan sambutan yang diterima daripada pembeli kereta di Malaysia. Dalam tempoh hanya lapan bulan dari kami melancarkan SUV pertama serta menaik taraf rangkaian model-model yang lain, membuatkan PROTON menghasilkan barisan model yang lebih segar berbanding mana-mana jenama lain di Malaysia.

“Segala kerja keras membuahkan hasil dan kini kami yakin dapat menjual 100,000 unit kereta pada tahun ini, yang mana itu akan menjadi asas kukuh untuk PROTON terus bergerak ke hadapan pada tahun 2020 dan seterusnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Chunrong berkata, PROTON juga mempertahankan posisinya di kedudukan kedua dalam jualan keseluruhan dan yakin dapat mengekalkan kedudukan berkenaan hingga akhir tahun ini.

“Proton X70 mengekalkan kedudukan sebagai SUV premium dan eksekutif paling laris

Proton X70 terus mencatatkan jualan yang cemerlang bagi 10 bulan berturut-turut di mana model tersebut mengekalkan kedudukan jualannya yang teratas sebagai SUV premium dan eksekutif.

“Setakat ini, lebih 24,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan, yang mana jumlah itu menjadikan model berkenaan sebagai SUV segmen C terlaris dan membuktikan model itu kekal menjadi pilihan pembeli,” katanya.

Sementara itu, Proton Saga 2019 terus menjadi model paling popular dengan lebih 28,000 tempahan diterima setakat ini dan pada Oktober, model berkenaan mencatatkan jualan paling tinggi selama tempoh empat tahun.

Sebanyak 4,273 unit Proton Saga dijual pada bulan lalu dan bagi 10 bulan pertama tahun ini, jumlah kumulatif adalah sebanyak 30,331 unit, iaitu peningkatan sebanyak 26 peratus berbanding tahun sebelum ini.

Begitu juga model Exora, Iriz dan Persona yang turut menunjukkan peningkatan jualan dan secara keseluruhan setakat ini, jualan bagi ketiga-tiga model itu serta Saga meningkat sebanyak 21 peratus pada tahun ini.

Model berkenaan juga menyumbang 78 peratus daripada jumlah jualan PROTON pada Oktober dan bagi jumlah keseluruhan pula adalah sebanyak 68 peratus.

Berita Harian X