Sabtu, 7 March 2020 | 2:45pm
Triumph Rocket 3 R dan Rocket 3 GT.
Triumph Rocket 3 R dan Rocket 3 GT.

Triumph Muscle Mania tampilkan Rocket 3 enjin 2,500cc

KOTA DAMANSARA: Fast Bikes Sdn Bhd (Triumph Motorcycles Malaysia), pengedar rasmi motosikal jenama Triumph di Malaysia memperkenalkan empat rangkaian motosikal berkuasa besar termasuk dua model serba baharu ke pasaran Malaysia.

Pelancaran dengan tema Triumph Muscle Mania dimulakan dengan dua model berkuasa dan ‘sasa’ berkapasiti 2,500cc iaitu Rocket 3 R dan Rocket 3 GT serta varian terkini berkuasa 1,200cc iaitu Thruxton RS cafe racer.

Triumph Motorcycles Malaysia juga memperkenalkan model ‘off-road’ dan kembara bandar terkemukanya, Tiger 900 serba baharu yang bakal dijual bermula bulan depan.

Dalam acara sama, syarikat berkenaan turut menyerahkan dua unit model Rocket 3 TFC (Triumph Factory Custom) edisi terhad ultra kepada pelanggannya. Model berkenaan dihasilkan secara eksklusif di mana hanya 750 unit ditawarkan di seluruh dunia.

Bagi Triumph Rocket 3 Series yang menampilkan Rocket 3 R dan Rocket 3 GT, model menggunakan enjin serba baharu 2,500cc yang menghasilkan 167PS pada 6,000 rpm dan tork 221 Nm pada 4,000 rpm ditawarkan pada harga bermula RM130,000.

Triumph Thruxton RS cafe racer serba baharu pula ditawarkan pada harga bermula RM86,900, manakala Tiger 900 serba baharu dari dengan harga bermula RM63,900.

Triumph Thruxton RS.
Triumph Thruxton RS.

Menyentuh mengenai Triumph Rocket 3 R dan Rocket 3 GT, ia didatangkan dengan rekaan ‘signatur’ termasuk lampu depan LED, inovasi ekzos 3-kepala yang diukir dan rim aluminium 20 bilah yang dibalut oleh tayar belakang 240 milimeter (mm).

Ia yang turut hadir dengan swingarm tunggal yang diimbangi oleh suspensi monoshock tampil dengan penggayaan roadster handlebars untuk Rocket 3 R, manakala Rocket 3 GT pula dengan handlebars berasaskan kembara.

Dari segi fungsi pula, dua model ini memiliki instrumen TFT warna penuh generasi kedua yang lebih sofistikated dan lebih banyak kefungsian berbanding generasi terdahulu.

Fungsi lain adalah ABS yang disokong Inertial Measurement Unit (IMU), lampu nyalaan siang dengan pencahayaan LED penuh, kawalan cruise elektronik dan Triumph Shift Assist.

Bagi model Thruxton RS cafe racer yang didatangkan dengan enjin 1,200cc berkuasa 105 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 112 Nm, ia tampil dengan angkup brek Brembo M50 Monobloc, sementara tayar pula ditukar Metzeler Racetec RR.

Perubahan kosmetik yang dibuat untuk model baru ini adalah termasuk rim hitam yang melalui proses sama seperti penutup tepi enjin sementara pilihan warna pula terdiri daripada Jet Black dan Matte Grey/Matte Silver Ice.

Terakhir, Triumph Tiger 900 pula hadir dengan kapasiti enjin 900cc yang memiliki kuasa 95PS pada 8,750 rpm dan tork 87 Nm pada 7,250 rpm.

Triumph Tiger 900 GT.
Triumph Tiger 900 GT.

Model digilai ramai ini tampil dengan radiator berkembar yang ditetapkan dengan jumlah penyejuk dikurangkan bagi memperkasakan prestasi sejukan dan mengurangkan kepanasan yang boleh dirasai penunggang.

Model ini menggunakan brek Brembo Stylema Monobloc yang memberi kuasa membrek dan maklum balas lebih pantas.

Dengan kapasiti tangki minyak 20 liter juga ia memberikan jarak perjalanan kembara lebih jauh.

Berita Harian X