Jumaat, 13 March 2020 | 4:32pm
Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) yang menampilkan perlumbaan Vios Challenge menamatkan musim ketiga di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tanpa kehadiran penonton susulan kebimbangan COVID-19.
Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) yang menampilkan perlumbaan Vios Challenge menamatkan musim ketiga di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tanpa kehadiran penonton susulan kebimbangan COVID-19.

Festival TGR 'beraksi' tanpa penonton

KUALA LUMPUR: Penutup Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) musim ketiga yang dijadualkan berlangsung pada 18 dan 19 April ini bakal ‘beraksi’ secara tertutup susulan kebimbangan mengenai penularan COVID-19.

UMW Toyota Motor dalam satu kenyataan berkata, ia memutuskan Festival TGR yang turut membabitkan perlumbaan pusingan keempat dan terakhir bagi Vios Challenge musim ini berlangsung tanpa kehadiran penonton.

“Kami mengambil tanggungjawab untuk menjaga kebajikan dan kesihatan orang ramai, krew kami, pelumba dan pasukan yang menyertai Vios Challenge supaya tidak terdedah kepada COVID-19,” katanya.

Menurut UMW Toyota Motor, acara itu tidak lagi terbuka untuk orang ramai dan hanya ahli krew utama, pelumba dan pasukan perlumbaan akan dijemput untuk menjayakan musim ketiga Festival TGR.

“Pada hari acara, pihak penganjur akan menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas pelumba dan ahli pasukan serta krew kami sebelum memasuki premis,” katanya.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Pemotoran UMW Toyota Motor, Akio Takeyama, berkata semua perlumbaan akan disiarkan secara langsung di akaun Facebook dan YouTube Toyota, bagi memastikan peminat tidak ketinggalan mengikuti perkembangan semasa Vios Challenge.

“Kami percaya peminat menghargai dan memahami situasi semasa,” katanya.

Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) yang akan menampilkan perlumbaan pusing keempat dan terakhir musim ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 18 dan 19 April ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X