Isnin, 4 Mei 2020 | 4:46pm
Kumpulan Naza
Kumpulan Naza

Jenama automotif di bawah Naza mula operasi hari ini

KUALA LUMPUR: Beberapa jenama automotif di bawah Kumpulan Naza kembali beroperasi mulai hari ini susulan dengan Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan pengoperasian semula.

Antara syarikat automotif di bawah kumpulan yang dibuka semula hari ini termasuk Naza Italia Sdn Bhd, NZ Wheels Sdn Bhd, Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, Nasim Sdn Bhd, Naza Euro Motors Sdn Bhd dan Naza Motor Trading Sdn Bhd.

Begitu juga pusat pameran dan jualan kenderaannya yang dibuka kepada orang ramai iaitu NZ Wheels Sdn Bhd (Mercedes-Benz), Pusat Servis Timur Laut KL dan Autohaus Johor Bahru.

Pelanggan yang ingin mengunjungi pusat perkhidmatan diminta menghubungi cawangan yang berkenaan untuk membuat tempahan.

"Naza Kia Malaysia (Kia Malaysia) memulakan operasi sepenuhnya di cawangan yang dibenarkan secara berperingkat dan telah memulakan program 'Kia Promise' yang berakhir pada Jun 2020 sebagai jaminan tambahan kepada pelanggan bahawa PKP tidak akan mempengaruhi aspek selepas jualan.

"Ini bermaksud semua yang ada jaminan akan tetap berlaku walaupun perkhidmatan penyelenggaraan pencegahan tidak dapat dilaksanakan semasa PKP.

"Program ini juga merangkumi jaminan kenderaan yang berakhir semasa PKP serta mereka yang tidak dapat melakukan pembaikan jaminan pada kenderaan mereka dalam tempoh tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan Naza juga sentiasa meletakkan keutamaan tertinggi pada kesihatan dan keselamatan pekerjanya serta pelanggan dalam tempoh kritikal ini.

Langkah keselamatan yang ketat dan prosedur operasi dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan akan dipatuhi di setiap premis Naza.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X