Sabtu, 9 Mei 2020 | 10:08pm
PROTON Holdings Bhd
PROTON Holdings Bhd

PROTON tawar kad minyak percuma kepada pembeli kereta e-hailing

KUALA LUMPUR: PROTON memperkenalkan tawaran insentif kepada

pembeli kereta yang mahu menjadikan kenderaan mereka sebagai perkhidmatan e-hailing bagi menjana pendapatan tambahan.

Bagi pelanggan yang membeli Proton Persona, Iriz, Exora, Saga atau Proton X70 baharu dari pusat jualan PROTON, mereka akan ditawarkan kad hadiah minyak Petronas bernilai RM500 atau, boleh memilih mendapatkan potongan harga kereta dengan nilai yang sama.

Untuk mendapatkan tawaran ini, pelanggan perlu mengemukakan salinan lesen e-hailing PSV yang sah sebagai bukti dan mendaftarkan kenderaan berkenaan di atas nama mereka sendiri.

Selain daripada kad hadiah berkenaan, potongan harga tambahan turut ditawarkan bagi model terpilih, dari RM300 hingga RM1,500.

Promosi ini akan berlangsung hingga 31 Disember 2020 dan juga terbuka untuk individu yang ingin membeli kereta bagi tujuan sama iaitu e-hailing oleh pemandu yang berbeza.

Bagi tujuan ini, PROTON hanya memerlukan Surat Persetujuan yang menyatakan tujuan pembelian serta nama penuh, nombor kad pengenalan dan salinan lesen e-hailing pemandu itu.

Ketua Jualan Korporat, PROTON Edar, Fazli Hisham Shukor, berkata syarikat ingin memudahkan mana-mana individu yang ingin membeli kereta Proton bagi tujuan e-hailing.

"Oleh itu, sekiranya pembeli kereta adalah isteri dan pemandu adalah suaminya, kami hanya memerlukan dokumen untuk pengesahan bagi meluluskan pembelian," katanya dalam satu kenyataan.

Tujuan PROTON memperkenalkan tawaran ini adalah untuk memudahkan mereka yang baharu dalam industri e-hailing untuk membuat keputusan pembelian kereta serta bagi pemandu sedia ada yang ingin menggantikan kereta.

Berita Harian X