Sabtu, 4 November 2017 | 5:04pm
ANTARA pengunjung yang hadir pada pelancaran fasa kedua Monet Residences, Monet Garden di Sunsuria City, Sepang, hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin
PENOLONG Pengurus Bahagian Jualan Sunsuria City, Arul Siva. - Foto Khairull Azry Bidin
KAKITANGAN awam, Nuraziemah Yusof. - Foto Khairull Azry Bidin

Lebih 1,000 kunjungi pelancaran Monet Garden

SEPANG: Lebih 1,000 pengunjung memeriahkan pelancaran fasa kedua Monet Residences, Monet Garden di Sunsuria City di sini, hari ini.

Penolong Pengurus Bahagian Jualan Sunsuria City, Arul Siva, berkata perumahan berkonsepkan taman hijau itu mengambil inspirasi daripada pelukis terkenal Perancis, Claude Monet.

"Pembangunan berkonsepkan Perancis ini adalah ilham karya popular Monet yang banyak menterjemahkan alam semula jadi seperti pokok, bunga dan tasik dalam setiap karya lukisannya.

"Kami menekankan permainan warna baik dari bangunannya mahupun pokok yang diimport untuk menampakkan suasana empat musim seperti mana gambaran dalam karya popular Monet," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran terbabit, hari ini,

Arul berkata, fasa kedua yang dibuka jualan 340 unit bermula hari ini mendapat 112 tempahan setakat ini,


ANTARA pengunjung yang hadir pada pelancaran fasa kedua Monet Residences, Monet Garden di Sunsuria City, Sepang, hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

Monet Residences dibangunkan dengan kos RM1.3 bilion dalam kawasan strategik yang turut merangkumi Universiti Xiamen.

Selain laluan terus dari Lebuhraya Elite, pengangkutan awam seperti ERL dengan jarak tujuh minit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Arul berkata, perumahan terbabit turut mempunyai premium outlet dalam pembinaan iaitu Horizon Village Outlet yang dijangka siap pada 2019.


ANTARA pengunjung yang hadir pada pelancaran fasa kedua Monet Residences, Monet Garden di Sunsuria City, Sepang, hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

Majlis pelancaran dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti lakaran wajah, ruang kanak-kanak dan pertunjukan badut.

Turut diadakan bicara hartanah oleh pakar industri iaitu Ketua Perbankan Pengguna Bank Muamalat, Awang @ Musran Tawil @ Jawila dan Ketua Pegawai Eksekutif MRP Advisory Service Sdn Bhd, Franciss Chin.

Pembangunan bercampur atas tanah dengan keluasan 212 hektar itu turut menyediakan rumah contoh berkonsepkan realiti maya (VR) yang memberi pengalaman unik kepada bakal pembeli.


MOHD Razmady Mansor bersama keluarga hadir pada pelancaran fasa kedua Monet Residences, Monet Garden di Sunsuria City, Sepang, hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

Jurutera, Mohd Razmady Mansor, 38, berkata lokasi dan keselesaan disediakan menjadi antara tarikan kunjungannya.

"Saya dan keluarga tertarik memiliki kediaman di sini kerana konsep ala Perancis jarang ada di negara kita, selain untuk memberi keselesaan kepada keluarga.

"Saya memiliki empat anak dari usia dua hingga 11 tahun dan masih menyewa di kondominium buat masa ini.

"Sudah sampai masanya kami memiliki rumah yang memiliki ruang besar disebabkan anak semakin membesar," katanya.

Kakitangan awam, Nuraziemah Yusof, 29, berkata konsep, lokasi strategik dan infrastruktur menjadi daya tarikan untuk merealisasikan impian rumah pertamanya.

Sejak mendirikan rumah tangga pada Mei lalu, beliau dan suami, Lutfi Dzolmi, 28, mula meninjau ke beberapa projek perumahan dan kebanyakan konsepnya hampir sama.

"Konsep Monet ala Perancis ini unik kerana dikelilingi taman hijau yang memenuhi impian kami untuk memiliki rumah pertama.

"Ia dekat dengan tempat kerja kami manakala infrastruktur disediakan baik yang sedia ada mahupun yang sedang dalam pembinaan, berupaya melonjak nilai hartanah dengan cepat," katanya.

Berita Harian X